Panasonic bakal berhentikan 10,000 pekerja di seluruh dunia

Panasonic bakal berhentikan 10,000 pekerja di seluruh dunia
Panasonic Holdings Corp pada Jumaat mengumumkan akan memberhentikan 10,000 pekerja di dalam dan luar negara, iaitu hampir lima peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerjanya, sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula perniagaan syarikat itu.
Menurut agensi berita Kyodo, syarikat tersebut memaklumkan bahawa pengurangan tenaga kerja melibatkan 5,000 pekerja di Jepun dan 5,000 lagi di luar negara, dengan sebahagian daripada mereka akan ditawarkan skim persaraan awal. Sehingga Mac lalu, jumlah tenaga kerja Panasonic ialah seramai 207,548 orang.
Syarikat pengeluar elektronik itu kini sedang menyusun semula struktur tenaga kerja selepas mencatat caj penstrukturan semula berjumlah 130 bilion yen (AS$895 juta).
“Tanggungjawab pengurusan terletak pada saya,” kata Presiden Panasonic, Yuki Kusumi dalam satu sidang media dalam talian.
“Saya rasa amat malu.”
Kusumi turut berkata bahawa beliau akan berusaha untuk “membina sebuah organisasi yang mana setiap pekerjanya amat produktif”, sambil mendedahkan bahawa beliau akan memulangkan kira-kira 40 peratus daripada jumlah gajinya.
Berdasarkan keputusan kewangan bagi tahun fiskal yang berakhir pada Mac lalu, keuntungan bersih syarikat susut sebanyak 17.5 peratus kepada 366.21 bilion yen, manakala hasil jualan turun 0.5 peratus kepada 8.46 trilion yen.
Panasonic menjangkakan keuntungan bersih akan terus merosot sebanyak 15.3 peratus bagi tahun fiskal yang berakhir Mac tahun depan, dengan jualan dijangka menyusut sebanyak 7.8 peratus.
Menerusi pelan reformasi ini, Panasonic menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan kepada lebih 300 bilion yen menjelang tahun fiskal 2028.
Panasonic mula melaksanakan langkah pemberhentian pekerja pada tahun 2001, ketika syarikat itu masih dikenali sebagai Matsushita Electric Industrial Co., apabila menawarkan skim persaraan awal kepada kira-kira 13,000 pekerja susulan prestasi perniagaan yang merosot selepas gelembung teknologi maklumat meletus.
Langkah penstrukturan semula yang diambil ketika itu berjaya memulihkan kedudukan kewangan syarikat. – Bernama-Kyodo