Bapa dakwa anak sertai Palapes UiTM meninggal dunia akibat teruk didera
Bapa dakwa anak sertai Palapes UiTM meninggal dunia akibat teruk didera
Bapa kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UiTM, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi iaitu Muhammad Zaidi Abdul Rahman mendakwa anaknya yang meninggal dunia pada 13 November lalu akibat didera jurulatih.
Menurut laporan MalaysiaKini, Zaidi berkata anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Selain dipaksa melompat seperti kangaru, Amir turut didakwa dibiarkan dalam keadaan pengsan di bawah terik matahari selama 30 minit sebelum rakan mangsa datang memberi bantuan.
Apabila melihat keadaan mangsa sudah tidak sedarkan diri, jurulatih itu bertindak menghantar Amir ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun, usahanya itu sudah terlambat.
“Tetapi telah terlambat dan anak saya tidak sedarkan diri. Kemudian jurulatih itu mengambil tindakan untuk membawa anak saya ke hospital menggunakan kereta beliau.
“Jurulatih itu tidak menelefon ambulans ataupun membawa anak saya ke pusat perubatan di UiTM yang lebih dekat berbanding Hospital Shah Alam,” kata Zaidi dalam laporan polis yang dibuat.
Zaidi memberitahu dia serta ahli keluarga hanya mengetahui kejadian tersebut sekitar 9 malam selepas dihubungi pihak hospital untuk mendapatkan kebenaran memberikan bantuan pernafasan.
“Sekiranya tidak dimaklumkan pihak hospital, kami sekeluarga langsung tidak tahu isu ini,” katanya lagi.
Segala perkara yang berlaku terhadap anaknya terbongkar selepas diceritakan sendiri oleh rakan Amir sebaik selesai pengebumian di Banting, Selangor.
Sehubungan itu, Zaidi mahu siasatan menyeluruh dilakukan oleh pihak berkuasa kerana percaya terdapat kecuaian dan kekasaran melampau oleh jurulatih itu yang menyumbang kepada kematian Amir Rusyaidi.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes itu sebagai kematian mengejut.
Timbalan Komandan Palapes UiTM Ariff Md Ab Malik pula menggesa agar siasatan rapi dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terbabit.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya masih menunggu laporan terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.