“Orang cakap otai masih berbisa, sebenarnya otai masih ‘berdosa’..” – Saiful Apek

“Orang cakap otai masih berbisa, sebenarnya otai masih ‘berdosa’..” – Saiful Apek
“Saya akui khilaf dilakukan dan menerima teguran dengan berlapang dada,” kata pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek, 56, ketika diminta mengulas video dirinya didakwa berpelukan dengan usahawan sensasi, Kak KM yang tular hingga mengundang kecaman netizen.
Apek atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff ketika dihubungi berkata, dia berharap perkara itu tidak perlu dipanjangkan lagi.
“Saya akui khilaf dan menerima dengan berlapang dada untuk terima teguran berlandaskan kasih sayang.
“Tak perlu panjangkan kejadian khilaf saya kerana pada masa itu, saya tak fikir dan mungkin tak sedar hukum-hakam walau sudah ‘bau tanah’. Benda sudah pun berlaku.
“Jadi, jika ada yang sampai kecewa atau ‘unfollow’ dan ‘block’ (sekat) kerana kejadian itu, saya terima dengan reda,” katanya kepada Harian Metro.
Saiful berkata, dia membuat kenyataan ini kerana mahu bertanggungjawab sepenuhnya atas perkara yang berlaku.
“Saya tidak mahu menuding jari atau nak beri alasan berdolak-dalih untuk tepis segala teguran dan jelaskan apa yang sebenarnya berlaku dan sebagainya lagi.
“Salah tetap salah, dosa tetap dosa dan yang haram tetap haram. Saya cukup sedar batas dalam agama islam dan saya memang bersalah.
“Sebab itu, saya selalu betulkan bila orang cakap otai masih berbisa itu salah kerana sebenarnya, otai masih ‘berdosa’,”katanya.
Pelakon filem Duyung lagi, kenyataan yang diberikannya bukan untuk cuba menegakkan benang yang basah, memuaskan hati mana-mana pihak atau semata-mata berkiblatkan netizen.
“Saya tak nak budaya kita sekarang ni takut buat salah semata-mata mata sebab netizen.
“Sepatutnya kita bukan takut hukuman netizen tapi hukuman Allah dan cakaplah apa pun kalau tak berubah tetaplah tak berubah dan kalau ditarik segala nikmat dan rezeki saya sekalipun bukan kerana manusia tapi atas Kun Fa Yakun,” katanya.
Terdahulu, tular video di mana Apek didakwa berpelukan dengan usahawan kosmetik Liana Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak KM dalam sebuah acara baru-baru ini.
Video yang dimuat naik Kak KM di Facebook dan Instagram itu turut mengundang kecaman netizen, lebih-lebih lagi Apek dikenali dengan perwatakannya yang lebih ke arah Islamik sejak kebelakangan ini.
Malah, Penceramah bebas, PU Syed turut menegur Apek selepas tular rakaman yang menunjukkan dirinya bersentuhan dengan Kak KM menjelaskan bahawa batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram perlu dijaga selain perlu menghormati hukum syarak yang telah ditetapkan dalam Islam.