“Jumpa patung muka saya ditanam depan rumah” – Ogy Ahmad Daud dedah pernah jadi mangsa sihir

“Jumpa patung muka saya ditanam depan rumah” – Ogy Ahmad Daud dedah pernah jadi mangsa sihir

 

“Jumpa patung muka saya ditanam depan rumah” – Ogy Ahmad Daud dedah pernah jadi mangsa sihir

Seniwati Fauziah Ahmad Daud mendedahkan pernah menjadi mangsa sihir selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga dengan aktor Eman Manan.

Fauziah atau mesra disapa Ogy, 61, berkata, gangguan aneh mula dirasai apabila dia kerap melihat makhluk halus selain mengalami perubahan emosi mendadak termasuk naik angin tanpa sebab.

“Saya jumpa patung muka saya ditanam depan rumah. Ketika itu baru beberapa bulan saya menikahi Eman.

“Disebabkan kerap nampak benda-benda yang tak sepatutnya, emosi tak stabil, rasa malas nak pergi kerja, tiba-tiba marah tanpa sebab, itu yang saya lalui,” katanya dalam podcast X’Klusif.

Menurut pelakon filem Azura itu, keadaan mistik terus berlarutan sehingga dia dibantu isteri kepada pelakon Datuk Tarmimi Siregar, Tengku Asmah, yang memanggil seorang imam bagi memutuskan sihir tersebut.

“Perkara itu berterusan sehingga isteri Datuk Tarmimi Siregar panggil imam Masjid Kampung Baru datang ke rumah saya.

“Imam itu masuk saja, terus dia kata, ‘ada benda dekat depan tu, korek sekarang’. Bila korek, jumpa patung muka saya yang dibalut kain kafan dan penuh dengan jarum,” dedahnya.

Menurut Ogy lagi, itu adalah kali pertama dia melihat sendiri bukti bahan sihir yang dihantar kepadanya.

Atas nasihat imam, dia perlu menjalani proses pemulihan dengan mencari tujuh masjid untuk mandi dan menunaikan solat sunat taubat.

“Imam suruh saya buang benda tu. Dia minta saya cari tujuh masjid, mandi dan buat solat sunat taubat,” tambahnya.

Sebelum ini Ogy pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor versatil, Eman pada 23 Disember 1990 namun mereka bercerai 13 tahun kemudian.

Perkahwinan itu tidak dikurniakan cahaya mata namun aktres terbabit kemudian mengambil seorang anak angkat, Nur Aminah Aishah, 17.