Kadar obesiti di Pulau Pinang lebih tinggi dari purata nasional

Kadar obesiti di Pulau Pinang lebih tinggi dari purata nasional

 

Kadar obesiti di Pulau Pinang lebih tinggi dari purata nasional

Pulau Pinang merupakan syurga makanan buat para foodie di luar sana. Dari nasi kandar hinggalah manisan, sebut sahaja pasti tersedia di setiap penjuru di negeri itu.

Jadi tidak hairanlah apabila rakyat di Pulau Pinang didapati mempunyai kadar obesiti yang lebih tinggi berbanding purata rakyat Malaysia biasa.

Memetik laporan The Star, Dzulkefly menyatakan bahawa kadar berat badan berlebihan dan obesiti di Pulau Pinang berada pada 56.5%, mengatasi angka nasional sebanyak 54.4%.

“Kolestrol tinggi juga lebih tinggi di Pulau Pinang iaitu 37.4% berbanding 33.3% secara nasional, dan 35.4% penduduk Pulau Pinang dikesan mempunyai tekanan darah tinggi, melebihi kadar nasional iaitu 29.2% sebanyak,” kongsinya.

Dapatan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 turut menunjukkan kadar penyakit tidak berjangkit di Pulau Pinang adalah melebihi purata nasional.

Penyakit serius diabetes dikesan dalam 20.5% penduduk dewasa Pulau Pinang, lebih tinggi daripada kadar nasional iaitu 15.6%.

Selain itu, Dzulkefly menekankan bahawa populasi yang semakin tua memberikan cabaran lain, dengan Malaysia diunjurkan mencapai status negara tua menjelang 2035, apabila 15% daripada populasi akan berumur 60 tahun atau lebih.

Beliau menekankan kepentingan menggalakkan budaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit kronik di kemudian hari dan memastikan proses penuaan yang lebih sihat.

Pada 2024, warga emas berumur 60 tahun ke atas membentuk 11.6% merangkumi 3.9 juta individu daripada jumlah penduduk.