“Muka mereka, sebelah lain, sebelah lain” – Noraniza Idris kongsi pengalaman ‘masuk’ alam bunian

“Muka mereka, sebelah lain, sebelah lain” – Noraniza Idris kongsi pengalaman ‘masuk’ alam bunian

 

“Muka mereka, sebelah lain, sebelah lain” – Noraniza Idris kongsi pengalaman ‘masuk’ alam bunian

Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris berkongsi pengalamannya ‘masuk’ ke alam bunian dan menyaksikan sendiri keadaan persekitaran di perkampungan itu.

Dalam video podcast di saluran Safwan Nazri Podcast, Noraniza yang mesra dengan panggilan Kak Ani berkata, dia terpaksa meminta bantuan orang yang tahu ilmu alam ghaib untuk memulihkan pusat pelancongan yang diuruskannya di Melaka, satu ketika dahulu.

“Saya tahu tempat itu bagaimana, taman yang sebenar. Tapi, bila saya buka mata, saya nampak belukar, ada sungai cetek, ada jambatan. Ia satu kawasan padang luas, berbukit dan itu tempat perhimpunan orang-orang bunian.

“Kemudian, dia (orang berilmu) ajak saya berjalan ke kawasan yang dekat dengan pejabat saya. Tempat itu adalah pusat bandar yang sangat pesat.

“Dia bagi syarat, jangan suka-suka sangat di kawasan ini antara jam 12 tengah hari dan 5 petang sebab kawasan itu sedang pesat,” katanya.

Menurut Noraniza, orang-orang bunian itu hidup seperti manusia, namun memiliki dua bahagian wajah.

“Masa saya sempat tengok suasananya, orang-orangnya biasa cuma taklah cantik macam selalu orang cerita. Muka mereka, sebelah lain, dan sebelah lain. Wallahualam. Sebelah cantik dan sebelah tak cantik.

“Mereka ada perkampungan macam kampung tahun 1940-an. Sama macam kita semua. Baju biasa, ada basikal, macam orang-orang kampung. Bila saya cerita apa yang saya lalui, orang pandai itu cakap betul.

“Sepanjang saya menjaga tempat itu, saya tahulah di mana kawasan yang tak boleh buat suka-suka. Bila kanak-kanak datang, saya cakap kepada kanak-kanak, waktu-waktu begini, rehat.

“Bila kita pandang, kita nampak aktiviti itu berlaku. Saya dijaga oleh orang yang bawa saya itu. Jadi, saya cuma dibuka peluang untuk lihat apa tempat yang saya duduk sekarang,” katanya.

Penyanyi lagu Dikir Puteri itu diminta untuk membuat perjanjian dengan ‘penghuni’ tanah itu bagi memastikan urusannya lancar dan tidak ada sebarang gangguan.

Terdahulu, Noraniza turut berkongsi pengalamannya apabila anak-anak didiknya yang terdiri daripada kanak-kanak sering menjadi mangsa gangguan mistik setiap kali menginap di situ saat mengendalikan program kebudayaan.

“Dalam masa kita buat program itu, kebanyakan belia yang datang menginap, sering diganggu. Apabila mereka nak ke tandas, nampak kelibat terbang.

“Kawasan itu kawasan terbuka dan kedudukan tempat kita menginap itu, ada satu pusat budaya. Jadi, bila nak ke tandas, kena keluar dari pusat budaya itu dan lintas pokok besar, rumah kosong dan sebagainya.

“Jadi, akan ada budak demam. Dia dalam kawasan itu. Mungkin lemah semangat. Tapi, Alhamdulillah tak jadi kat saya. Cuma, ia kerap berlaku, sebab setiap hujung minggu akan buat program bersama kanak-kanak, setiap kali menginap mereka mengadu takut itu dan ini.

“Sampai satu masa, saya rasa pelik kenapa benda ini berlaku kepada kanak-kanak sebab ia mengganggu perjalanan gerak kerja saya untuk bangunkan tempat itu. Sampai satu ketika saya terpaksa cari orang yang ‘pandai’ untuk pulihkan tempat itu,” katanya.

Noraniza bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan terperinci lokasi pusat pelancongan itu.