Tak sampai sebulan kenal, wanita pilih lelaki beza usia 33 tahun jadi suami

Tak sampai sebulan kenal, wanita pilih lelaki beza usia 33 tahun jadi suami

 

Tak sampai sebulan kenal, wanita pilih lelaki beza usia 33 tahun jadi suami.

Tidak sampai sebulan perkenalan, Norain Azlyin Abd Rasad bersetuju berkahwin dengan Awang Zainal Abidin Awang Damit Yahya yang 33 tahun lebih berusia daripadanya.

Berkat restu keluarga, Norain Azlyin, 28, selamat diijabkabulkan dengan Awang Zainal Abidin, 61, pada 20 Oktober lalu.

Kisah pasangan itu mendapat perhatian selepas Norain Azlyin memuat naik video dan gambar dengan suaminya di TikTok.

Berkongsi kisahnya, Norain Azlyin berkata, dia mengenali suami, Awang Zainal Abidin selepas diperkenalkan bapa saudaranya dalam satu pertemuan di sebuah restoran pada 2 September lalu.

Menurutnya, dia sebelum ini sudah berumah tangga dan bertahan selama 10 tahun namun berpisah pada April lalu.

Manakala, suaminya juga sudah dua kali berkahwin dan kematian isteri pada 2022.

“Saya tak terfikir pun akan berkahwin dalam tahun ini kerana baru berpisah dengan bekas suami tujuh bulan lalu.

“Tapi dua bulan lalu, pak cik (bapa saudara) saya kenalkan dengan suami yang juga rakannya.

“Pada awalnya tertanya juga kenapa diperkenalkan dengan suami yang lebih berusia tapi selepas bersembang, nampak suami bukan macam lelaki lain kerana tak ambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Norain Azlyin berkata, suaminya juga nampak bersungguh memperisterikannya kerana berani berjumpa ibu bapanya tidak lama selepas berkenalan.

“Jadi nampak suami tak hanya pandai berkata-kata tapi buktikan dengan jumpa orang tua saya untuk menyatakan hasratnya.

“Alhamdulillah, ibu dan ayah tak halang walaupun suami lebih berusia daripada saya dan mereka setuju kerana enggan kami keluar tanpa ada hubungan yang sah.

“Tambahan, saya ibu tunggal dan baru habis tempoh edah jadi tak manis dipandang orang sekeliling,” katanya.

Norain Azlyin berkata, selain ibu bapa, anak kedua belah pihak juga tidak menghalangnya dan suami untuk berkahwin.

“Saya ada tiga anak hasil perkahwinan terdahulu begitu juga suami namun mereka semua terima keputusan kami.

“Anak bongsu suami pun sebaya dengan saya tapi tak ada masalah. Jujurnya saya bahagia kerana tak pernah berasa kebahagiaan itu sebelum ini.

“Saya selesa dengannya kerana pemikiran dan perjalanan hidup kami hampir sama. Paling saya suka adalah cara suami didik anak terutama bila dia ajak mereka solat berjemaah,” katanya yang berkongsi di TikTok sebagai sebagai kenangan dan tidak sangka mendapat perhatian meluas.

Sementara itu, Awang Zainal Abidin berkata, dia tidak melihat usia isteri yang lebih muda dan mempunyai anak sebagai halangan untuk mereka berumah tangga.

“Daripada awal perkenalan kami sudah serasi dan saya pun sayang budak-budak jadi anggap anaknya macam darah daging sendiri.

“Anak saya pun terima isteri malah waktu hari akad nikah dan majlis persandingan, mereka ada datang.

“Apa saya harapkan kini adalah rumah tangga kami bahagia dan jodoh berpanjangan,” katanya yang juga pesara Jabatan Air Sabah.