“Takut nak cakap lebih-lebih” – Nora Danish tertekan orang mula label dirinya artis contoh

“Takut nak cakap lebih-lebih” – Nora Danish tertekan orang mula label dirinya artis contoh

 

“Takut nak cakap lebih-lebih” – Nora Danish tertekan orang mula label dirinya artis contoh

Sedar netizen mula menjadikan dirinya artis contoh selepas melihat perubahan hidup, Nora Danish mengaku mula tertekan.

Nora atau nama penuh, Nora Mohd Danish Hanif, 42, takut untuk berbicara dengan lebih kerana percaya, suatu hari nanti, dia juga akan diuji seperti orang lain.

“Iya, saya sangat tertekan. Ada suatu masa, bukan hanya peminat, sebaliknya, kawan juga labelkan saya ustazah. Saya tidak tersinggung, sebaliknya, saya aminkan. Cuma kadang-kadang, kesilapan kecil yang saya buat, mereka anggap tidak mengapa sebab konon saya mulia.

“Sebenarnya tidak, setiap orang, akan buat silap, termasuklah ustaz. Saya percaya diri ini akan diberi ujian berat suatu hari nanti. Namun, saya harap boleh hadapinya,” katanya ditemui pada majlis pelancaran butik Amber di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Nora mengaku kurang berlakon kerana banyak meluangkan masa mengikuti kelas agama. Dalam seminggu, Nora hadir dalam empat hingga lima kuliah agama.

“Saya fokus kepada rezeki masa lapang yang Allah beri. Saya hadiri majlis ilmu untuk menguatkan lagi iman saya.

“Saya cuba buat yang terbaik. Saya percaya Allah Maha Baik. Dengan melihat usaha kita, kita juga dipelihara.

“Dahulu banyak perkara saya tinggalkan. Jadi, sekarang, saya kelam kabut penuhi jiwa dengan perkara sepatutnya,” katanya yang mengaku mendapat tawaran membawa watak ‘penyondol’ atau perampas, namun, menolak bukan berpunca karakter, sebaliknya, faktor masa.

Nora berkongsi sejak enam bulan lalu, dia giat menggantikan solat berikutan mempunyai banyak masa lapang.

“Sekarang saya tekankan kepada anak-anak di mana jika mereka tinggalkan solat, mereka masih perlu menggantikannya.

“Sekarang, setiap kali saya solat fardu, saya akan tambah dengan solat qada hingga tamat hidup saya. Pada awalnya, saya menangis sebab penat. Namun, lama-lama, saya okay dan jadi ketagih. Tetapi, saya takut hendak cakap lebih-lebih,” katanya.

Berkongsi mengenai usaha menghafal surah Al Mulk, Nora berkata, dia cuba mendekatkan diri dengan Al-Quran setiap hari agar kekal istiqamah.

“Kalau diikutkan, saya orang yang pelupa dan sangat teruk. Hendak hafal lirik lagu pun tidak boleh, apatah lagi surah. Namun, saya berjihad hendak hafal Al Mulk.

“Sebaik hafal lima ayat pertama, saya menangis dan berdoa supaya Allah cekalkan hati. Alhamdulillah, selepas ayat ke-10, semuanya lebih mudah.

“Jadi kita kena kuat semangat. Setiap malam saya baca… Semuanya kerana Allah beri kemampuan ini kepada saya,” katanya.