“Ya, saya janda” – Nina Iskandar sahkan sudah bercerai sejak tahun lalu

“Ya, saya janda” – Nina Iskandar sahkan sudah bercerai sejak tahun lalu
Spekulasi mengenai perceraian pelakon Nina Iskandar akhirnya terjawab apabila mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan bekas suami, Azlan Adzanan, tahun lalu.
Mengulas perkara itu, Nina atau Nur Akmalina Iskandar, 34, menjelaskan perceraian berlaku bukan berpunca daripada pihak ketiga, namun disebabkan tiada persefahaman.
“Ya, saya sekarang sudah bergelar janda. Sampai bila saya mahu berselindung. Sebelum ini, kes perceraian kami masih berjalan, jadi saya tidak berani untuk berkongsi kepada peminat dan rakan media.
“Jadi, sekarang barulah saya boleh jelaskan mengenai status saya. Kami bercerai secara rasmi, tahun lalu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran serum bibir berwarna, Skandarl Beauty.
Bagaimanapun, Nina menjelaskan, mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak pertengahan 2022.
Ditanya mengapa merahsiakan perceraian, pelakon kelahiran Brunei itu menjelaskan, dia tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak.
“Saya bukan jenis suka mengheboh-hebohkan soal peribadi, lagi pun, saya mahu menjaga aib kedua-dua pihak dan menjaga sensitiviti keluarga.
“Sebelum ini, ada rakan media bertanya mengenai perkara sama, namun saya tidak boleh beritahu perkara sebenar. Ini kerana ketika itu perceraian masih belum rasmi,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon drama Andainya Takdir bersyukur kerana anak tunggal lelakinya, Aaryan Ar-Rizqin memahami situasi yang berlaku.
“Alhamdulillah, Aaryan mengerti keadaan kami walaupun usianya baru berusia lima tahun.
“Saya bersama bekas suami juga memilih untuk membesarkan Aaryan bersama. Saya tidak mahu memutuskan hubungan antara anak dan ayah.
“Mereka juga bebas berhubung menerusi panggilan video. Saya juga ada membawanya ke Johor untuk berjumpa dengan bapanya dan keluarga bekas mentua,” ujarnya.
Nina mendirikan rumah tangga dengan penolong pengarah drama, Mohd Azlan Adzanan atau dikenali sebagai Lan Lebah pada April 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak lelaki, Aaryan Ar-Rizqin yang kini berusia lima tahun.