Pakar ramal negara ‘ini’ bakal lenyap dari dunia, ini sebabnya
Pakar ramal negara ‘ini’ bakal lenyap dari dunia, ini sebabnya
Jepun, sebuah negara maju yang terkenal dengan kecemerlangan teknologi dan budaya, kini berdepan ancaman besar – populasi yang semakin berkurangan dengan drastik.
Menurut ramalan seorang profesor terkenal di Jepun, negara ini mungkin akan menghadapi ‘kepupusan sepenuhnya’ menjelang tahun 2720 jika isu kadar kelahiran yang rendah tidak ditangani dengan serius.
Profesor Hiroshi Yoshida dari Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Masyarakat Tua, Universiti Tohoku, mendedahkan bahawa Jepun mungkin hanya akan mempunyai seorang kanak-kanak berusia bawah 14 tahun menjelang tahun 2720.
Berdasarkan simulasi demografi yang dilakukan sejak 2012, beliau mendapati bahawa penurunan populasi yang berterusan akan menyebabkan negara ini ‘lenyap’ dari dunia dalam tempoh kurang daripada 700 tahun.
Pendedahan mengejutkan ini turut disokong oleh data terkini daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, yang menunjukkan penurunan mendadak sebanyak 2.3 peratus dalam jumlah kanak-kanak.
Sejak 1970-an, jumlah kelahiran di Jepun terus menurun, dan pada 2005, bilangan kematian melebihi kelahiran.
Pada 2022, terdapat hampir satu juta lebih banyak kematian berbanding kelahiran.
Tambahan pula, 29.9 peratus populasi Jepun kini terdiri daripada individu berusia lebih 65 tahun, meningkat daripada 24.1 peratus pada 1960.
Profesor Yoshida menjelaskan bahawa kemelesetan ekonomi jangka panjang di Jepun menyebabkan ramai orang muda tidak mampu berkahwin atau mempunyai anak kerana pendapatan rendah.
“Melainkan penurunan kadar kelahiran dihentikan, ‘jam’ ini akan terus mundur. Jepun mungkin menjadi negara pertama yang pupus akibat kadar kelahiran yang rendah.
“Kita perlu mewujudkan persekitaran di mana wanita dan warga emas boleh bekerja, serta membentuk masyarakat yang aktif dan inklusif,” ujarnya.
Kerajaan Jepun menyedari betapa kritikalnya situasi ini dan telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk mengubah keadaan. Antaranya:
1. Insentif Kewangan
- Kerajaan memperuntukkan 5.3 trilion yen (kira-kira RM150 bilion) untuk membantu pasangan memulakan keluarga.
- Dengan lebih banyak wang di tangan, diharapkan pasangan muda akan lebih terdorong untuk memiliki anak.
2. Dasar Imigresen
- Jepun juga merancang melonggarkan polisi imigrasi untuk menarik lebih ramai pekerja asing.
- Sasaran kerajaan adalah untuk menggandakan tenaga kerja asing menjelang 2040 bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja domestik.
3. Perubahan Budaya Kerja
- Keseimbangan kerja dan kehidupan menjadi fokus utama.
- Antara langkah yang diambil ialah memperkenalkan minggu kerja empat hari bagi kakitangan kerajaan di Tokyo.
- Selain itu, ibu bapa muda dibenarkan untuk pulang dua jam lebih awal daripada waktu kerja biasa.
4. Aplikasi Dating
- Tokyo turut melancarkan aplikasi janji temu khas untuk membantu individu bujang mencari pasangan hidup.
- Pengguna aplikasi ini perlu membuktikan status bujang mereka dan menyatakan komitmen untuk berkahwin.
Langkah ini digambarkan oleh seorang pegawai Tokyo sebagai ‘dorongan lembut’ untuk membantu golongan muda mencari pasangan hidup mereka.
Dengan pelbagai langkah yang sedang diusahakan, Jepun berharap dapat mengubah haluan dan mengelakkan ‘kepupusan’ dalam tempoh yang akan datang.