Enggan buka tudung, Neera Azizi tolak tawaran 50 episod drama
Enggan buka tudung, Neera Azizi tolak tawaran 50 episod drama
Pelakon Neera Azizi mengaku berdepan pelbagai ujian untuk terus istiqamah sebaik mula berhijab selepas mengerjakan umrah tahun lalu.
Neera atau nama sebenar, Nurazneera Azizi, 27, mendakwa pernah diminta untuk menanggalkan hijab oleh satu syarikat produksi bagi menjayakan drama bersiri 50 episod, baru-baru ini.
Neera yang juga penyampai radio Rakita mendakwa, pihak produksi memintanya untuk berbuat demikian ketika sesi penggambaran berlangsung sahaja, namun, memilih menolaknya kerana enggan menipu penonton.
“Boleh dikatakan dalam tempoh tiga bulan sejak mula berhijab memang banyak tawaran drama. Kalau perasan saya banyak bawa watak antagonis atau penyondol.
“Ada juga beberapa tawaran minta saya buka tudung. Itu adalah ujian untuk saya terus istiqamah dan saya tolak tawaran berkenaan.
“Ada tawaran drama 50 episod dan watak ditawarkan untuk saya tidak bertudung. Mereka tak tahu saya sudah mula bertudung.
“Saya kata tak boleh, tapi mereka minta saya buka bila sesi penggambaran sahaja dan selepas selesai boleh pakai balik. Saya fikir tak boleh begitu sebab macam menipu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem terbaharu lakonannya, Hukum Kifarah di sebuah hotel di Seri Kembangan.
Berkongsi sebab utama mengenakan hijab, pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz itu berkata, hatinya terbuka selepas bermimpi sebaik pulang mengerjakan umrah.
“Selepas pulang mengerjakan umrah, tiga malam berturut-turut saya mimpi pakai tudung. Pada malam ketiga, saya fikir perlu pakai tudung, perasaan itu datang sendiri.
“Kadang-kadang kalau ada rasa rimas sebab baru kali pertama, tapi tunang saya banyak beri sokongan,” kata Neera yang bakal berkahwin pada Julai depan dengan seorang mutawif.
Dalam perkembangan lain, Neera terbabit sebagai pelakon utama dalam filem Hukum Kifarah yang akan memulakan penggambaran bulan depan.
Selain Neera, pelakon yang turut menjayakan filem berkenaan adalah Farid Kamil, Datuk Jalaluddin Hassan, Syaiful Zero, Imuda dan beberapa pempengaruh media sosial.
Filem diarahkan Roy dengan skrip ditulis Epy Kodiang itu dijangka ditayangkan pada 2026.