“Benda nak masuk perut” – Individu kecewa beli nasi kerabu dapat ‘lauk’ ulat di bazar

“Benda nak masuk perut” – Individu kecewa beli nasi kerabu dapat ‘lauk’ ulat di bazar
Hasrat seorang individu untuk berbuka puasa dengan nasi kerabu dicemari insiden meloyakan apabila terdapat ulat dalam bungkusan nasi itu.
Menurut Sinar Harian, individu tanpa nama telah memuat naik video berdurasi lapan saat yang menunjukkan empat ekor ulat sedang bergerak dalam nasi kerabu yang didakwa dibelinya di Bazar Ramadan Jasin Bestari pada Ahad.
Menurutnya, tindakan peniaga yang tidak menjaga kualiti dan kebersihan makanan yang dijual amat mengecewakannya.
“Kalau nak berniaga tolonglah jaga kualiti dan kebersihan makanan.
“Bayangkan nak berbuka tiba-tiba nampak berkeliaran dalam nasi, tak berkat cari rezeki dengan aniaya orang lain,” tulisnya di media sosial, Facebook.
Tambahnya, peniaga makanan yang lain diharap mengambil pengajaran daripada insiden meloyakan yang menimpa dirinya itu.
“Tolonglah pastikan kebersihan itu diutamakan, benda nak masuk perut dan untuk peniaga lain ambillah pengajaran.
“Hari ini baru lapan Ramadan saya tak nak orang lain kena macam saya,” tulisnya lagi.
Status perkongsian individu tersebut di kumpulan FB Geng Bandar Jasin Bestari sejak Ahad telah mendapat hampir 200 reaksi, 157 komen dan dikongsi sebanyak 42 kali.
Kebanyakan netizen yang memberi komen turut pernah berdepan dengan situasi seumpama itu.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ruzita Mustaffa yangc dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan membuat semakan dengan PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) mengenai dakwaan tersebut.