Namewee kritik pelancong China ‘paksa’ diri untuk cakap bahasa Mandarin ketika di Malaysia
Apabila mahu melancong ke sesebuah negara, kita sememangnya disarankan belajar bahasa natif lokal di sana ataupun bahasa Inggeris yang menjadi bahasa perantara antarabangsa.
Namun, tetap ada segelintir individu dari beberapa negara tertentu yang merasa dirinya istimewa sehinggakan kita pula perlu berkomunikasi dengan bahasa ibunda negara asalnya.
Baru-baru ini, seorang figura kontroversi berkongsi satu video reaction terhadap klip video yang dipercayai warga China yang datang melancong ke Malaysia.
Menerusi klip video tersebut, boleh dilihat seorang pelancong China yang baru tiba ke sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur.
Sepanjang berada di lokasi, individu ini berkeras menggunakan bahasa Mandarin untuk berkomunikasi dengan warga lokal termasuklah untuk menanyakan arah atau membuat tempahan hotel.
Kesemua staf yang bertugas mengalami kesukaran untuk memberi respons kerana tidak mahir dalam bahasa Mandarin dan akhirnya individu tersebut terpaksa mengalah dengan guna aplikasi penterjemah untuk berinteraksi.
Walaupun kita sedia maklum Namewee cukup fasih berbahasa Mandarin, dia sendiri berpendapat tindakan pelancong China itu menggunakan bahasa Mandarin untuk berkomunikasi dengan warga Malaysia adalah tidak wajar.
“Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa. Saya rasa awak patut guna bahasa antarabangsa semasa melancong ke luar negara,” kongsinya.
Namewee malah mempersoalkan bagaimana lelaki dari China ini boleh melancong ke luar negara tanpa belajar dan faham perkataan asas seperti pasport untuk urusan seharian ketika di situ.
“Dia ingat bahasa Mandarin adalah bahasa antarabangsa?, soalnya di dalam video.
Lalu, dia menerangkan kira-kira 20% orang di Malaysia yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin terutamanya orang berbangsa Cina. Tambahnya, masih ada orang Cina yang tidak mahir pun dalam pertuturan bahasa Mandarin.
Dalam pada itu, dia turut memberi contoh bagaimana pula jika orang lain yang datang ke negara China dan menggunakan bahasa natif masing-masing untuk berurusan. Sudah pasti warga lokal akan turut meluat dan runsing untuk melayan kerenahnya.
@namewee 吉隆坡最近真的多了很多中國遊客… https://youtu.be/qxSaZUp71jQ
Konklusinya, Namewee merasa meluat dan bengang dengan dengan gelagat pelancong China terbabit yang mengharapkan orang lain memahami bahasa Mandarin meskipun ketika berada di luar negara.
Video yang dimuat naik ternyata meraih perhatian ramai dan dihujani pelbagai respons daripada netizen di luar sana.
Rata-ratanya bersetuju dengan luahan Namewee yang pelancong perlu pelajari sekurang-kurangnya bahasa antarabangsa agar mudah untuk berkomunikasi.
Tidak kurang juga, ada sebahagian netizen lain yang berkongsi pengalaman menghadapi pelancong dari tanah besar yang berkeras mahu guna bahasa Mandarin terutamanya di hotel, e-hailing dan lapangan terbang.
Hal ini sememangnya menyusahkan banyak pihak dan terpaksa panggil penterjemah bagi menyelesaikan isu terbabit.