Gajah naik minyak, pijak Vios selepas kenderaan belakang bunyikan hon

Gajah naik minyak, pijak Vios selepas kenderaan belakang bunyikan hon
Kejadian sekumpulan gajah mengamuk sehingga merosakkan kenderaan dekat Sungai Lebey berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini, malam tadi dipercayai disebabkan terdapat bunyi hon dari kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata dalam kejadian itu, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya diserang sekumpulan gajah liar terbabit.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa berusia 39 tahun yang memandu Toyota Vios memberhentikan kenderaannya apabila mendapati sekumpulan gajah sedang melintas jalan sebelum hon dibunyikan oleh kenderaan yang berada di belakangnya.
Pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak cedera kerana sempat menyelamatkan diri keluar dari keretanya.
“Pengadu (mangsa) memberhentikan kereta dan mematikan lampu, namun terdengar bunyi hon kenderaan dari arah belakang sebelum tiga ekor gajah tiba-tiba menghampiri keretanya.
“Pemandu dalam keadaan panik sempat keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri. Sesudah kawanan gajah terbabit beredar, pengadu hadir ke balai polis untuk membuat aduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat serangan gajah berkenaan, kereta pengadu rosak pada bahagian hadapan dan belakang selain pada sisi kanan dan kiri.
Zulkifli menasihati pengguna jalan agar lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa antaranya agar tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lain apabila berhadapan gajah.
Terdahulu, BH melaporkan PERHILITAN mengesahkan kejadian gajah mengamuk itu.