“Dari RM300 jadi RM500” – Lelaki sanggup beri nafkah ‘couple’ bulanan, kekasih kahwin dengan orang lain
“Dari RM300 jadi RM500” – Lelaki sanggup beri nafkah ‘couple’ bulanan, kekasih kahwin dengan orang lain
Seorang individu ‘berputih mata’ apabila kekasih hatinya tiba-tiba berkahwin dengan lelaki lain senyap-senyap.
Lebih mengecewakan apabila individu berkenaan sudah berhabis duit membelikan pelbagai barangan termasuk nafkah ‘couple’ sepanjang 5 tahun bercinta.
Dalam satu perkongsian kepada pengguna TikTok @meingl, lelaki ini berkata, mereka mula berkenalan pada tahun 2018.
Dia mengakui timbul rasa sayang apabila semakin rapat pada 2020. Ketika itu, mereka setuju untuk serius dalam perhubungan dan berkahwin.
Teman wanitanya mula meminta duit bulanan dengan alasan sebagai ‘nafkah’ memandangkan mereka akan berkahwin. Pada awalnya, dia memberikan RM300 dan lama kelamaan naik sehingga RM500.
Sebagai seorang teman lelaki, dia langsung tidak berkira meskipun keadaan ekonomi semakin menekan. Pada masa yang sama, dia perlu mengumpul wang untuk perbelanjaan berkahwin.
Pada tahun 2024, kekasihnya itu berhenti kerja swasta dan menerima tawaran kerja kerajaan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sebagai persediaan masuk kerja baru, teman wanitanya minta dibelikan pelbagai barangan termasuk jam berharga hampir RM2,000.
Namun, pada 18 Disember tiba-tiba kekasihnya tidak membalas mesej dan panggilan telefon. Kali terakhir mereka berjumpa adalah pada 13 Disember.
Lebih mengelirukan apabila nombor telefonnya didapati sudah disekat daripada menghubungi kekasihnya.
Individu ini kemudian tergerak hati untuk meninjau akaun media sosial kekasihnya dan terkejut mendapat tahu kekasihnya berkahwin dengan lelaki lain.
Jelasnya lagi, dia tidak menyangka akan dikhianati memandangkan mereka sudah lama bercinta. Kekasihnya juga tidak pernah memberikan kata putus namun tiba-tiba menghilangkan diri.
Lelaki ini buntu apa yang harus dilakukan dan seakan tidak percaya ditipu hidup-hidup!