Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2025 meriah di Mydin Meru Raya

Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2025 meriah di Mydin Meru Raya

 

Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2025 meriah di Mydin Meru Raya

Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2025 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berlangsung meriah di Mydin Meru Raya, Ipoh dengan pelbagai pengisian menarik yang menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Program dua hari yang bermula hari ini dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dan menghimpunkan pelbagai aktiviti kesihatan dan rekreasi seperti demonstrasi masakan, aerobathon, e-sukan, pertandingan mewarna, pocket talk, dan lompat tali.

Dengan tema “Makan Sihat, Giat Aktif – Utamakan Kesihatan & Kesejahteraan”, sambutan tahun ini dilihat selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa kesedaran pemakanan sihat dan gaya hidup aktif sebagai langkah pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YB Exco Kesihatan Negeri Perak, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dato’ Asmuni Awi, pegawai khas Menteri Besar Perak di Dun Manjoi serta pegawai-pegawai kementerian dan agensi kesihatan berkaitan.

Dato’ Asmuni menyifatkan penganjuran program ini sebagai satu pendekatan inklusif yang berupaya melibatkan seluruh lapisan masyarakat dalam membentuk kesedaran kesihatan secara kolektif.

“Program seperti ini bukan sahaja mendidik, malah mendekatkan masyarakat dengan amalan pemakanan sihat dan aktiviti gaya hidup cergas yang amat penting dalam dunia pasca-pandemik hari ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha-usaha kesedaran kesihatan awam seperti ini menerusi kolaborasi bersama agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia akan diteruskan sehingga 22 Jun 2025, bermula dari 10 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai pengisian yang sesuai untuk semua golongan umur.