“Berdosa selalu tolak untuk bersama” – Wanita mahu cerai selepas 10 tahun tahan mulut busuk suami

“Berdosa selalu tolak untuk bersama” – Wanita mahu cerai selepas 10 tahun tahan mulut busuk suami
Sedekad hidup berumah tangga, namun hanya tuhan saja yang tahu betapa terseksanya hati wanita ini.
Gara-gara sudah tidak mampu bertahan, dia akhirnya nekad mahu menuntut cerai disebabkan sikap pengotor suami dan lelaki itu tidak pernah berubah.
Berkongsi cerita, dia mendedahkan situasi inj sudah berlarutan selama 10 tahun sejak mereka bergelar suami isteri.
“Minta cerai sebab suami malas mandi dan mulut berbau? Kalau hari kerja, pagi tu dia mandi sekali je, balik kerja dia tukar seluar dan dia baring depan TV.
“Kerja dia jenis peluh-peluh, bukan duduk ofis beraircond pun. Hari cuti Sabtu Ahad tu memang tak mandilah. Gosok gigi pun sama, masa mandi je dia gosok,” luahnya menerusi satu hantaran di laman sosial.
Menurut wanita itu, sikap pengotor suaminya itu hanya disedarinya selepas mereka berkahwin.
“Masa berkawan dulu, jarang-jarang kami jumpa sebab duduk jauh. Tapi sekali jumpa tak ada la bau yang tak enak,” ujarnya.
Bercerita lanjut, dia sebagai isteri cuba membantu untuk mengubah tabiat suaminya itu dengan melakukan pelbagai cara.
“Saya belikan flos dan cecair pencuci mulut. Tapi dia macam tu juga, malas nak guna. Ada juga saya beli penyembur mulut, tapi bila saya tolong sembur, penyembur mulut tu pun tak function sebab dia tak gosok gigi.
“Bau mulut dia lagi kaw daripada penyembur mulut tu,” ujarnya.
Bukan sekadar di rumah, malah kata wanita itu, suaminya juga ‘membawa’ perangai pengotor apabila berada di luar.
“Kadang bila ajak jalan-jalan hujung minggu, dia keluar tak mandi walaupun saya dah ajak nak mandikan dia.
“Kalau ajak elok-elok dua hingga tiga kali, nanti dia marah-marah lepas tu buat muka masam,” jelasnya.
Selain mulut berbau dan malas mandi, katanya, suaminya juga tidak tahu menjaga kebersihan di rumah.
Tambahnya, semua kerja dilakukannya sendiri tanpa dibantu suaminya itu.
“Baju, tuala bersepah merata. Dia tak pernah tolong buat kerja rumah. Tapi saya tak pernah kisah dengan hal tu, saya boleh buat sendiri.
“Tapi bab bau tu kadang bila dia bercakap, sampai saya kena pusing kepala sikit sebab tak tahan bau,” katanya lagi.
Tanpa menjelaskan sebab rumah tangganya yang masih bertahan selama 10 tahun dengan sikap suaminya yang pengotor, dia juga mendedahkan tentang tanggungjawabnya sebagai isteri.
“Dia selalu cakap saya berdosa sebab selalu tolak untuk bersama. Macam mana nak bersama, bau dia dari jauh pun boleh mual.
“Bila saya cakap ‘Abang pergilah mandi dulu, dia cakap nantilah mandi’. Mood pun tak ada (bersama).
“Saya fikir sampai bila nak saya nak buat dosa macam ni,” katanya yang buntu untuk meneruskan perkahwinannya itu.
Sumber: mStar