Dikecam guna MSG dalam masakan, Dr Malar tampil perjelas 4 sebab

Dikecam guna MSG dalam masakan, Dr Malar tampil perjelas 4 sebab

 

Dikecam guna MSG dalam masakan, Dr Malar tampil perjelas 4 sebab

Asal masak atau makan makanan sedap sikit je kena cop letak bahan perasa tambahan atau MSG.

Selepas itu, mula la buka mukadimah kata tak elok untuk kesihatan la, itu la ini la nak mengecam. Macam salah besar je guna bahan MSG tu!

Tidak terkecuali, doktor perubatan dan juga pempengaruh, Dr Malar Santhi turut mendapat kecaman orang ramai tentang perkara ini. Ia terjadi apabila perkongsian memasaknya di Insta Story mengandungi satu jenama perasa tambahan menjadi lubuk orang ramai mengecam.

Menjawab tentang isu itu, beliau baru-baru ini memuat naik video penjelasan bahawa tiada kajian saintifik yang mengatakan bahawa MSG ini tidak selamat dimakan.

“Sebelum tu saya nak buat disclaimer, penjelasan ni adalah jujur daripada saya tau. Bukan daripada Ajinamoto.

“Macam ni, ketakutan terhadap MSG ni bermula dari barat. Sekitar tahun 1960an, seorang doktor tulis surat kepada New England Journal of Medicine mengenai gejala selepas makan makanan cina, seperti pening atau sakit kepala selepas makan dekat restoran cina. Jadi, doktor tu buat spekulasi mengatakan MSG dalam makanan itu lah yang menyebabkan simptom macam tu katanya.
“Jadi, banyak lah kajian saintifik yang dibuat tentang MSG dalam masakan ini dan kesemuanya mengatakan bahawa secara amnya MSG selamat dimakan oleh kebanyakan orang apabila diambil dalam kuantiti yang bersederhana,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau sempat menjelaskan sebab mengapa beliau memilih untuk menggunakan MSG dalam masakan.

“Point pertama saya dalam menggunakan ajinamoto dalam masakan saya adalah tiada kajian saintifik yang menunjukkan ia berbahaya. Point kedua, anda semua tahu tak sebenarnya MSG ini diabstrak, diperbuat daripada sumber makanan semula jadi macam tomato, ubi kayu, tebu, melalui proses penampaian tapi ia daripada makanan sumber semula jadi dan MSG ni memberikan rasa sedap bila digunakan dalam masakan.

“Macam ni tau, sebagai tukang masak bertauliah untuk keluarga saya. Tugas saya adalah untuk sediakan makanan yang sedap dan sihat untuk keluarga saya. Kalau sihat je tapi tak sedap, keluarga saya tak nak makan. Jadi tak seronok makan makanan di rumah tak guna juga. Kalau sedap sangat tapi tak sihat, makan dan dapat penyakit tak guna juga.

“Sebab tu saya pilih untuk gunakan MSG dalam masakan saya sebab ia sihat dan menyedapkan. Ini point ketiga. Point keempat, point yang terakhir, saya sebenarnya secara peribadi menggunakan perasa MSG dalam masakan untuk kurangkan pengambilan garam dalam kehidupan,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, MSG ni dia ada 12 peratus sodium, manakala table salt pula ada 39 peratus sodium. Jadi, kandungan sodium dalam ajinamoto yang lebih rendah membolehkan kita mengurangkan pengambilan sodium dan menambah rasa sedap dalam makanan.

“Sebagai seorang doktor, ibu dan isteri yang bersilat dekat dapur hampir setiap hari untuk menyediakan makanan untuk keluarga, saya boleh cakap dengan yakin, penggunaan MSG memang membantu mengurangkan pengambilan garam.

“Contohnya lah kalau masak sayur goreng, saya tak letak garam langsung tau. Saya tumis dengan bawang, letak secubit ajinamoto macam tu, terus angkat. Bila makan sekali dengan lauk kari sekali dengan sayur, dah cukup dah garamnya. Dah sedap untuk dimakan, ini style saya masak.

“Jadi, ini empat sebab dan saya nak rumuskan, saya tak bersalah, MSG tak bersalah, mindset kita yang dimomokkan oleh propaganda dari barat sejak dahulu kala yang perlu diperbetulkan.

“Apapun kita semua hidup sekali je kan, jadi makanlah sedap-sedap, nikmati kehidupan yang sementara ini, cuma pastikan ia sehat dan selamat. Dan yang paling penting ingat, sentiasa ikut kajian saintifik, bukti melalui perubatan, jangan ikut mitos makcik bawang,” akhir kata dari Dr Malar.

Lain orang lain pandangan. Siapa kita nak menilai orang, kan? Jangan sebab kita tak amalkan sesuatu, maka boleh sewenangnya nak mengecam orang lain.