Seorang maut, 2 cedera dalam kemalangan babitkan motosikal, kereta & treler
Seorang maut, 2 cedera dalam kemalangan babitkan motosikal, kereta & treler.
Pagi tadi, berlaku satu kemalangan maut membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah treler membawa muatan kontena terbabas dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara berhampiran susur keluar Machap dekat Kluang, Johor.
Memetik laporan Buletin TV3, dilaporkan seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun maut dan dua orang cedera melibatkan pemandu dan penumpang kereta jenis Honda Civic.
Turut tular beberapa video dan gambar yang memaparkan treler yang membawa kontena itu terbalik merintangi jalan sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya.
Pada masa sama, melalui video yang dikongsikan kelihatan orang awam cuba membantu pemandu kereta Honda Civic yang merayu kesakitan meminta pertolongan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat cedera parah.
“Pemandu kereta tersepit dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas manakala seorang lagi penumpang dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi,” katanya.
Bagaimanapun, pemandu lori treler jenis Volvo berusia dalam lingtkungan 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.