Lepas dibantu motor habis minyak, guru terkedu dengar jawapan pelajar nak balik cepat

Lepas dibantu motor habis minyak, guru terkedu dengar jawapan pelajar nak balik cepat

 

Lepas dibantu motor habis minyak, guru terkedu dengar jawapan pelajar nak balik cepat

Dugaan dan ujian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Tidak terlepas daripada ujian adalah penunggang motosikal yang kehabisan minyak dan lebih teruk lagi jika ia berlaku ketika cuaca panas.

Seorang guru mengimbas kembali kisah seorang remaja lelaki yang berdepan situasi sebegitu dan terpaksa menolak motosikalnya di bawah terik matahari.

Guru berkenaan, Mohamad Yusof Sulehin ketika itu turut menaiki motosikal untuk membeli barang sebelum terserempak dengan remaja berkenaan yang memakai seragam sekolah.

“Cuaca panas betul. Sampai kat satu simpang, saya nampak ada seorang budak pakai baju sekolah tengah sorong motosikal.

“Tak sampai hati tengah panas-panas ni, saya berhenti tanya. Kenapa motor tu dik? Dia beritahu minyak motosikal habis. Dia naik motosikal buruk,” tulisnya di Facebook Muhammad Yusof.

Simpati melihat keadaan pemuda itu, dia membantu menunda motosikalnya untuk ke lokasi terdekat bagi mengisi minyak.

“Saya tunda dia sampai kat kedai depan sikit, ada bengkel jual minyak dalam botol. Dia beritahu tak apa bang, dia nak tolak juga motosikal.

“Saya cakap tak apa, bukan jauh pun,” ujarnya.

Sambil menunda motosikal, dia berbual dengan pemuda itu yang memaklumkan motosikalnya kehabisan minyak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Saya tanya budak tu nak pergi mana. Dia beritahu baru balik daftar sekolah, tak perasan motosikal habis minyak sebab tempat ukur minyak rosak.

“Jadi dia ingat minyak banyak lagi. Tiba-tiba tengah bawa motosikal, minyak motosikal habis pula,” katanya.

Setibanya di kedai untuk mengisi minyak motosikal, Mohamad Yusof sedia hendak membayar kerana melihat pemuda itu seperti dari keluarga susah.

Bagaimanapun, pertolongannya ditolak pemuda berkenaan secara baik.

“Budak tu kata tak apa. Dia beritahu mak ayah dia tak bagi ambil duit orang. Mak pesan jangan susahkan orang lain bang. Dia salam saya cium tangan sambil ucap terima kasih,” tambahnya.

Keadaan pemuda itu yang mahu beredar secara tergesa-gesa menimbulkan tanda tanya dan jawapan yang diberikan ternyata mengejutkan.

“Saya tanya lepas ni dia nak pergi mana pula. Dia jawab ‘Lepas ni saya nak pergi masjid bang. Dah nak masuk Zohor dah ni’.

“Allahuakbar, terkedu saya. Tak terkata apa. Kita yang dah separuh abad ni pun kadang rasa berat nak ke masjid walaupun kita dah tahu nak masuk solat.

“Kita lebih pentingkan urusan dunia lagi berbanding urusan nak menghadap Tuhan,” jelasnya.

Menurut Mohamad Yusof di hantaran sama di Facebook, jawapan yang diberikan pemuda itu begitu ringkas tetapi masih ‘berbekas’ dalam hatinya sehingga ke hari ini.

“Budak muda depan saya yang hidupnya sederhana, naik motosikal buruk, punyalah bersungguh nak penuhi tuntutan solat berjemaah di masjid.

“Rasa macam ditampar-tampar di muka saya. Hebat mak ayah budak ni mendidik anak dia. Walaupun hidup tak kaya, tapi mereka keluarga yang akan kaya di akhirat, InsyaAllah.

“Moga dia berjaya dalam hidup dan jadi anak yang membahagiakan mak ayah dia dunia akhirat,” katanya lagi.

Sumber: mStar