MOTAC batal lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours Sdn Bhd

MOTAC batal lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours Sdn Bhd

 

MOTAC batal lesen syarikat Al Quds Umrah & Tours Sdn Bhd

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen Syarikat Al Quds Umrah & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa mulai 24 Januari lalu.

Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman, berkata pembatalan lesen itu selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Kementerian ini memandang serius sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan dua perenggan hari ini.

November lalu MOTAC menggantung lesen syarikat berkenaan berkuat kuasa mulai 9 Julai 2024 sehingga 19 Januari 2025.

Dalam kenyataan pada 8 November lalu, penggantungan lesen syarikat itu selaras dengan Akta 482.

Kenyataan itu turut menjelaskan dalam tempoh penggantungan lesen berkuat kuasa, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu.

Oktober tahun lalu, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah, membenarkan tuntutan pampasan ganti rugi berjumlah RM10,000 oleh dua individu terhadap syarikat berkenaan.

Keputusan itu selepas pendengaran kes dikemukakan Kasmah Arifin, 55, dan Muliana Samin, 44, terhadap syarikat berkenaan.

Menerusi tuntutan yang dikemukakan, syarikat itu didakwa gagal membawa penuntut untuk mengerjakan ibadah umrah dan badal haji pada tarikh yang ditetapkan walaupun bayaran keseluruhan untuk pakej yang ditawarkan itu masing-masing sebanyak RM6,000 dan RM4,000 telah dijelaskan sepenuhnya oleh kedua-dua penuntut.

Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang berasakan diperdaya syarikat berkenaan kemudiannya tampil memfailkan tuntutan kepada TTPM.