Cabaran luar dugaan halang misi kayuh basikal ke Makkah, kini sudah sampai Madinah naiki kapal terbang

Cabaran luar dugaan halang misi kayuh basikal ke Makkah, kini sudah sampai Madinah naiki kapal terbang
Misi tiga sahabat berbasikal ke Makkah untuk menunaikan haji menemui kegagalan selepas mengharungi pelbagai cabaran luar dugaan.
Ketua trio terbabit, Che Saad Nordin, 75, berkata perjalanan yang dirangka sejauh kira-kira 12,000 kilometer (km) terbabit sekadar sampai di Bangkok atas faktor basikal yang digunakan, kesihatan dan pelbagai kemungkinan halangan di sempadan antarabangsa.
Katanya, sejak memulakan kayuhan dengan basikal lipat dari Merlimau Melaka pada awal 13 Januari lalu dia menempuh pelbagai halangan bersama Ramli Osman, 72, dan Azmi Osman 56 sehingga Ramli terpaksa berpatah balik sebelum sampai di Bangkok.
Menurutnya, kemalangan yang dialami menyebabkan seorang daripada mereka mengalami kecederaan, selain basikal rosak akibat dilanggar dan usia menyebabkan mereka mengambil keputusan membatalkan niat berkenaan.
“Kami semua yang berasal dari Kedah membuat persiapan lebih empat bulan sebelum memulakan kayuhan yang dijangka mengambil masa kira-kira lima bulan untuk tiba di Tanah Suci.
“Kayuhan dijadualkan merentasi Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi selepas percubaan kali pertama 2023 turut menemui kegagalan akibat cuaca sejuk melampau di Pakistan sehingga berpatah balik ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di Madinah.
Berita tiga sahabat terbabit mendapat liputan meluas media massa di negara ini, selain turut dilepaskan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Akmal Saleh di Merlimau pada Januari lalu.
Malah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis Izizam Ibrahim turut meraikan mereka di sempadan sebelum ketibaan trio terbabit disambut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi di pintu masuk Thailand.
Beliau berkata, bagi mengubati kekecewaan itu, mereka berpatah balik ke Malaysia menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki kapal terbang bagi menunaikan umrah dan sampai ke Madinah beberapa hari lalu dan akan ke Makkah kira-kira dua hari lagi.
Menurutnya, kerinduan terhadap Tanah Suci mendorong mereka berdua menunaikan umrah pada bulan Ramadan berkenaan selepas gagal dalam dua percubaan berkenaan.
Jelasnya, kayuhan ke Makkah dengan sebuah syarikat swasta menyediakan pakej haji memberi jaminan akan membantu dalam memudahkan urusan haji namun diminta untuk tiba di Makkah mengikut masa ditetapkan dengan harapan tiba di Makkah dalam tempoh 20 hari sebelum Hari Wukuf yang akhirnya tidak dapat direalisasikan.
Sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong usaha misi mereka dan memohon maaf atas jalan buntu yang berlaku.