Banyak syarat pelik & menakutkan, lelaki kongsi ‘rahsia’ cara buat minyak dagu Siam

Banyak syarat pelik & menakutkan, lelaki kongsi ‘rahsia’ cara buat minyak dagu Siam
Dalam dunia mistik, minyak dagu bukan satu nama asing dan sering disebut sebagai antara ‘ramuan’ paling ditakuti serta penuh misteri.
Minyak ini dipercayai mampu menundukkan hati manusia, melariskan perniagaan malah memberi perlindungan kepada pemiliknya.
Seorang lelaki mencuri perhatian di media sosial selepas berkongsi rahsia dan syarat lengkap cara pembuatan minyak dagu ampuh mengikut kepercayaan masyarakat Siam.
Menerusi perkongsian di TikTok, lelaki itu berkata ilmu dan pengetahuan mengenai pembuatan minyak berkenaan diceritakan oleh seorang pengamal perubatan mistik dari negara tersebut.
Berdasarkan apa yang diceritakan, minyak ini ‘kuat’ kesannya kerana diperoleh daripada seorang wanita mengandung yang kehidupannya sebelum mati mestilah menderita.
“Kematiannya mesti akibat dibunuh. Seterusnya, mengikut kepercayaan orang Thailand, kematiannya kena berlaku pada hari Selasa.
“Kemudian orang yang buat minyak ni akan pergi gali kubur mayat pada malam hari. Dia buka kain penutup mayat, baca mentera Siam dan layur dagu si mati dengan api lilin.
“Dan syarat seterusnya, orang ini dan mayat mesti dalam keadaan telanjang. Lilin tu bukan lilin biasa di kedai, tapi lilin sambang. Dia layur sambil baca mentera sampai mayat tu bercakap… bercakap apa tu saya tak tahu,” ceritanya.
Tambah lelaki tersebut, apabila minyak mulai keluar, ia terhasil dalam kuantiti yang kecil iaitu sekitar satu sudu besar.
“Lepas dapat minyak, dia ambil rambut mayat tu dan seterusnya melakukan pemujaan.
“Syarat nak memuja pula, mesti kena tahu nama si mati. Kalau tak tahu, tak menjadi minyak tersebut. Selepas itu mayat akan ditanam kembali seperti biasa.
“Sebab itu orang Siam dulu-dulu, bila ada kematian terutama kes macam ni, mereka akan jaga kubur selama 44 hari. Selepas 44 hari, kepuakaan mayat dah hilang,” ujarnya.
Pemujaan akan dilakukan lagi sekali di mana pembuatnya akan menyeru semangat si mati dan menitiskan darah dari jari manisnya ke dalam minyak berkenaan.
“Dia puja sampai nampak jasad si mati di depan dia. Betapa kuatnya minyak dagu ni, bila orang yang terkena calitan, dia akan ingat muka orang yang calit tu saja.
“Yang anda beli minyak dagu tu, semuanya tipu. Kalau ada orang jual, tak usah percayalah. Tok bomoh tu nak duit anda saja. Ingat senang ke nak buat minyak dagu,” ceritanya lagi.
Sebagai peringatan bersama, perbuatan mempercayai atau mengamalkan perkara khurafat adalah haram hukumnya dan berdosa besar di sisi agama Islam.