Lepas suami lafaz akad, pengantin perempuan tiba-tiba minta cerai & ‘cabut’ lari

Lepas suami lafaz akad, pengantin perempuan tiba-tiba minta cerai & ‘cabut’ lari
Suasana majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi detik terindah bertukar kecoh apabila seorang pengantin perempuan terus meminta cerai sebaik sahaja selesai ijab kabul, dalam kejadian yang berlaku di Desa Betung, Kecamatan Abab, Kabupaten Penukal Abab Lematang Ilir, Sumatera Selatan.
Insiden pelik itu tular di media sosial selepas dirakam dalam sebuah video yang dimuat naik oleh beberapa akaun di platform X termasuk @kegblgnunfaedh pada Ahad.
Video berdurasi kira-kira dua minit itu memaparkan suasana awal majlis yang tenang dan penuh adat istiadat. Kedua-dua mempelai kelihatan mengenakan pakaian pengantin serba putih.
Pengantin lelaki, Gunawan Maisin, kedengaran melafazkan ijab kabul dengan tenang mengikut bimbingan penghulu.
“Saya terima nikahnya dengan emas kahwin tersebut,” ucap Gunawan selepas penghulu menyatakan lafaz akad nikah dengan mas kahwin sebanyak 250 ribu rupiah (sekitar RM75) dibayar tunai.
Para tetamu kemudiannya menyahut lafaz “sah” menandakan pernikahan itu telah disahkan.
Namun, suasana berubah sekelip mata apabila pengantin perempuan, dipercayai bernama Miranti, tiba-tiba bangun dan menyatakan hasrat untuk bercerai.
“Pak Penghulu, saya nak cerai. Saya tak suka. Dia hina saya. Sudah, saya nak cerai,” katanya dalam loghat tempatan sambil berdiri dan beredar dari lokasi majlis dengan wajah kecewa.
Tindakan mengejutkan itu menyebabkan suasana menjadi kecoh dan tetamu kelihatan terpinga-pinga. Nasib pasangan tersebut selepas insiden itu masih belum diketahui setakat petang Isnin, namun video tersebut telah ditonton lebih 18,000 kali di media sosial.
Mengulas insiden itu, seorang pegawai agama yang dikenali sebagai Asmuni berkata, kejadian tersebut menunjukkan tanda-tanda bahawa pasangan berkenaan belum bersedia untuk memasuki alam rumah tangga.
“Kejadian sebegini sangat menyedihkan. Ia jelas memperlihatkan ketidaksediaan mempelai dalam menempuh alam perkahwinan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa pernikahan yang sah mengikut agama dan undang-undang biasanya melalui proses bimbingan pra-perkahwinan serta pemeriksaan dokumen dan persetujuan kedua-dua pihak di Pejabat Agama (KUA).
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak keluarga mahupun pihak berkuasa tempatan berhubung insiden tersebut. Tidak diketahui juga sama ada permintaan cerai itu akan diproses secara sah atau hanya luahan emosi seketika.