“Kito tengok pun naik angin” – Minah Saleh teruja sertai latihan dikir barat, semangat menari ikut rentak

“Kito tengok pun naik angin” – Minah Saleh teruja sertai latihan dikir barat, semangat menari ikut rentak

 

Baru-baru ini, persiapan untuk sambutan Hari Malaysia 2024 menyaksikan detik istimewa apabila sekumpulan pelancong luar negara, kebanyakannya wanita, turut serta dalam latihan persembahan dikir barat.

Video yang dimuat naik di akaun TikTok @anishahira22 menunjukkan mereka duduk bersama kumpulan dikir barat sambil mengikut rentak persembahan yang diiringi dengan nyanyian dan tarian.

@anishahira22

Minah2 Salleh Dikir Barat 😂 . Bukan main semangat lagi . Nnti kita up lagi sebelum dorang naik atas pentas . Siap joget lagi mula2 tengok dari bawah pentas 😅#dikirbarat #dataranmerdeka #minahsalleh

♬ bunyi asal – ASYRAF – ASYRAF

Dalam video tersebut, pelancong dilihat teruja menyanyikan lagu popular Seribu Erti nyanyian Halim Yazid, seolah-olah mereka sudah lama mengenali budaya ini.

Menurut pemilik video, sebelum dijemput untuk menyertai kumpulan dikir barat, pelancong-pelancong ini sebenarnya menari dan merakam persembahan dari bawah pentas.

Namun, semangat dan keseronokan mereka menarik perhatian kumpulan dikir barat, yang kemudian mengajak mereka untuk bersama-sama menyertai latihan di atas pentas.

Video tersebut kini sudah meraih lebih daripada 360 ribu tontonan dan mencetuskan reaksi positif dalam kalangan pengguna media sosial.

Ramai yang teruja melihat bagaimana pelancong asing turut bersemangat menyertai latihan dikir barat, malah ada yang meluahkan rasa bangga apabila tradisi tempatan diperkenalkan kepada dunia luar.

“Bangganya saya anak Kelantan, bila lagu-lagu dikir dimainkan luar Kelantan,” kata seorang netizen, “Patut IShowSpeed tengok benda ni, bukannya pergi Bukit Bintang,” kata netizen yang lain.

Ada juga netizen yang bangga kerana budaya Kelantan kini mendunia dan sesetengah netizen merasa seronok melihat kelakuan minah saleh tersebut.

Kejadian seperti ini menunjukkan bagaimana keunikan budaya Malaysia menjadi tarikan utama kepada pelancong asing.

Mereka bukan sahaja tertarik untuk menonton, malah ingin menyertai dan merasai sendiri pengalaman tersebut.

Dikir barat, yang sering dikaitkan dengan negeri Kelantan, kini mendapat tempat di hati pelancong dari luar negara.