“Bukan nak cipta sensasi, cuma obses dengan karya sendiri” – Mimi Fly mohon maaf berkemban dalam MV ‘Serumpun’

“Bukan nak cipta sensasi, cuma obses dengan karya sendiri” – Mimi Fly mohon maaf berkemban dalam MV ‘Serumpun’

 

“Bukan nak cipta sensasi, cuma obses dengan karya sendiri” – Mimi Fly mohon maaf berkemban dalam MV ‘Serumpun’

Lagu raya Serumpun nyanyian Mimi Fly menjadi bualan ramai meskipun baru dilancarkan di saluran YouTube miliknya pada Sabtu lalu.

Rata-rata tidak senang dengan penampilan Mimi yang dilihat berkemban dalam muzik video lagu berkenaan yang dianggap tidak sopan untuk sebuah lagu tema hari raya.

Menjawab mengenai perkara itu, Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham, 38, berkata dia berlapang dada menerima segala komen negatif daripada netizen mengenai muzik videonya.

Kata Mimi, dia tidak berniat mencipta kontroversi melalui lagunya sebaliknya terlalu fokus karya itu sehingga mengabaikan perkara lain.

“Saya terima segala komen dan kalau ada yang tersinggung dengan karya saya, saya minta maaf. Insya-Allah kalau buat lagu raya lain saya akan perbaiki.

“Bukan niat saya. Ketika ini saya sangat obses dengan karya saya sendiri. Mungkin saya terlalu fokus kepada karya itu sehingga tolak tepi perkara lain.

“Saya sudah lama menyepi, bila muncul kembali saya mula belajar semula dari mana keturunan saya. Yang mana saya ada darah serumpun dalam badan campuran Minang, Indonesia, Vietnam, dan Thailand,” katanya kepada mStar.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mimi memberitahu dia tidak sambil lewa dalam menyediakan busana bagi muzik video Serumpun.

Sebaliknya dia berkerjasama dengan pereka fesyen terkenal iaitu Abu Shaef Hamza sekali gus mempelajari sejarah busana orang terdahulu.

“Saya cuma rasa busana yang saya kenakan itu cantik dan selesa. Saya lama intai busana orang-orang lama jadi saya suka.

“Saya bukan buat seorang tetapi berkerjasama dengan pereka fesyen yang hebat iaitu Abu Shaef Hamza. Dia seorang profesional, kami belajar sama-sama mengenai sejarah baju orang lama.

“Saya lihat gambar dan jadi saya seronok. Saya nak raikan busana-busana kita sebenarnya. Saya bukan sengaja nak cipta sensasi, saya cuma obses dengan karya saya,” kongsinya.

Walaupun dikritik, Mimi bagaimanapun gembira apabila karyanya mendapat perhatian ramai.

Katanya, dia berpuas hati apabila lagu Serumpun mendapat pandangan negatif dan positif daripada pendengarnya.

“Sekurang-kurangnya ada yang ambil kisah apa saya keluarkan kerana saya pernah berada di fasa keluarkan apa-apa pun orang tak kisah.

“Jadi saya terima semuanya dan terima kasih komen serta kritikan, saya akan perbaiki selepas ini,” luahnya.

Dalam perkembangan lain, Melodi Raya 2025 bakal disiarkan pada 3 April pukul 9 malam dengan menampilkan artis hebat seperti Marsha Milan, Naqiu, Nabila Razali, Datuk Hattan, Kaka Azraff, Ara Johari dan ramai lagi.