Sisi gelap miliki nama panjang yang ramai tak tahu

Sisi gelap miliki nama panjang yang ramai tak tahu

 

Sehingga ke hari ini, masih ada ibu bapa yang meletakkan nama anaknya dengan frasa yang panjang untuk tampil unik dan moden.

Walaupun ia tampak berbeza dari yang lain, realitinya anak ini bakal menghadapi masalah besar sewaktu mahu melakukan urusan rasmi dan sebagainya.

Menerusi satu tangkap layar yang dikongsikan di platform TikTok, memaparkan luahan seorang individu tanpa nama sebenar yang mendakwa mengalami kesukaran untuk pelbagai urusan di luar negara dan dokumen rasmi dek kerana nama yang terlalu panjang.

“Nama saya terlalu panjang dan sering mengalami kesukaran bila di luar negara. (Tak boleh beli tiket penerbangan, keretapi dan sebagainya melainkan pembelian secara terus di mana jauh lebih mahal) malah dokumen juga kebanyakkan maksima 26-32 abjad sahaja, kalau lebih panjang kena lalui proses lain yang memenatkan.

“Baru-baru ini, saya buatkan pasport untuk adik saya. Saya pernah terbaca kita boleh buang bin/binti tu dari pasport sebab nama dia terlalu panjang. Tapi pengawai tu kata mesti kena ikut dalam IC juga, tidak boleh buang binti tapi nama jadi terlalu panjang. Pasti segala kesusahan yang saya alami akan dilalui oleh adik saya juga,” luahnya.

Dia lalu menasihati ibu bapa yang obses untuk memberi nama yang panjang kepada anak sebaiknya batalkan hasrat tersebut kerana hanya akan menyusahkan hidupnya kelak.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib individu terbabit yang mengalami kesukaran dalam urusan rasmi gara-gara memiliki nama yang panjang.

Dalam masa sama, netizen juga mendedahkan ejaan yang terlalu merepek juga bakal menghadapi perkara yang sama. Selain itu, ada individu yang mempunyai nama yang panjang turut berkongsi pengalaman di mana memang mengalami kesukaran seperti senario di atas.