Ini sebab kenapa ‘mileage’ kereta baru bukan kosong

Ini sebab kenapa ‘mileage’ kereta baru bukan kosong

 

Ini sebab kenapa ‘mileage’ kereta baru bukan kosong

Memiliki sebuah kereta baru boleh menjadi pengalaman yang mengujakan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang kali pertama memiliki kenderaan peribadi.

Perasan yang dirasai umpama menerima hadiah terbesar dalam hidupnya. Apatah lagi jika memiliki kereta sendiri adalah angan-angan yang disemat dalam sanubari sejak sekian lama.

Kerja keras selama ini terasa seperti sudah terbalas apabila memiliki kenderaan di atas nama sendiri.

Kerterujaan semakin bertambah saat-saat kunci kereta itu beralih tangan daripada penasihat jualan kepada diri sendiri, kan?

Bagaimanapun, ada pembeli beranggapan bahawa odometer atau jarak perbatuan kereta baru sepatutnya menunjukkan “0 km” ketika diserahkan kepada mereka.

Lalu, ada bermacam pertanyaan bermain di dalam minda apabila melihat odometer kereta menunjukkan angka sekian-sekian, padahal tuan badan belum pun sempat tekan pedal minyak lagi.

Justeru, seorang pengguna Facebook The Ajerul tampil membuat penjelasan bagi menjawab kekeliruan sesetengah pembeli tentang odometer kereta baru.

Menurut beliau, kereta baru sebenarnya sudah melalui beberapa peringkat bermula daripada barisan pengeluaran sebelum sampai ke tangan pembeli.

Antaranya, kereta berkenaan mungkin telah menjalani ujian fungsi bagi memastikan ia beroperasi dengan sempurna.

Sebelum keluar dari kilang pula, kenderaan tersebut akan diuji sekali lagi dan pandu uji yang singkat juga mungkin akan dilakukan.

Selepas itu, kereta tersebut mungkin akan dipandu untuk ditempatkan di tempat meletakkan kenderaan.

Jika kereta yang dibeli adalah unit CBU import, peringkat yang dilalui mungkin lebih banyak seperti dibawa masuk ke kontena, naik kapal dan sebagainya.

Sebelum diserahkan kepada pengedar, kereta tersebut mungkin dipandu untuk dibawa naik ke atas lori pengangkut. Kemudian, akan dipandu sekali lagi untuk dibawa turun dan dibawa masuk ke yard.

Selain itu, kenderaan juga mungkin dibawa oleh penasihat jualan ke stesen minyak untuk diisi dengan minyak penuh sebelum dipandu semula ke bilik pameran untuk diserahkan kepada pembeli.

Jadi, proses yang panjang ini menyebabkan perbatuan kereta baru tidak berada di angka sifar seperti yang disangkakan oleh sebahagian pengguna.

Menurut portal Car And Driver, anggaran perbatuan yang boleh diterima untuk kereta baru adalah kurang daripada 200 batu atau kira-kira 320 kilometer.

Bagaimanapun, angka berkenaan bukannya muktamad dan terpulang kepada pengeluar sesebuah jenama itu sendiri.

Anggaran jarak berkenaan disifatkan sebagai mencukupi untuk keseluruhan proses penghantaran bermula daripada kilang, ke pelabuhan, sampai di tangan pengedar dan dipindahkan ke bilik-bilik pameran.

Tambah portal itu lagi, kereta baru juga berkemungkinan besar tidak akan mengalami sebarang masalah teknikal sekiranya dipandu bawah jarak berkenaan.

Secara ringkasnya, tiada kereta baharu yang mempunyai sifar perbatuan kerana proses-proses yang disebutkan di atas sebelum kunci diserahkan kepada pembeli.