Rupanya ini lokasi mesin ATM pertama dipasang di Malaysia

Rupanya ini lokasi mesin ATM pertama dipasang di Malaysia

 

Rupanya ini lokasi mesin ATM pertama dipasang di Malaysia.

Mesin juruwang automatik atau sering disebut sebagai ATM adalah sejenis peranti berkomputer yang digunakan untuk sebarang aktiviti transaksi kewangan tanpa memerlukan perantaraan manusia.

ATM beroperasi dengan ‘mengenal pasti’ identiti pelanggan melalui kad ATM yang dilengkapi dengan jalur magnetik atau kad pintar (cip), sebelum transaksi diluluskan.

Hari ini, ATM boleh ditemui di mana-mana sahaja. Antaranya di stesen minyak, kedai runcit 24 jam dan juga di pusat-pusat membeli-belah.

Dengan adanya ATM, urusan masing-masing seperti pengeluaran, pemindahan wang, penambahan nilai kredit mahupun pembayaran bil utiliti dapat diselesaikan dengan mudah dan pantas.

Namun begitu, pernah tak anda terfikir bank manakah di Malaysia menjadi yang pertama yang memperkenalkan perkhidmatan ATM?

Selain itu, anda juga mungkin tertanya-tanya pada tahun bila perkhidmatan ini diperkenalkan dan dimana pula lokasinya?

Untuk pengetahuan pembaca semua, Malayan Banking Berhad (Maybank) yang ditubuhkan pada tahun 1960 adalah bank pertama yang memperkenalkan perkhidmatan tersebut.

Menurut laman web Maybank, ATM (Maybank Kawanku) pertama di Malaysia itu diperkenal pada September 1981 dan lokasinya adalah di Maybank Ampang, Kuala Lumpur.

Jaringan perkhidmatan ATM Maybank Kawanku kemudian berkembang dengan pantas dalam beberapa tahun kemudian.

Menjelang hujung dekad berkenaan, terdapat kira-kira 356 buah ATM Maybank Kawanku di seluruh negara.

Itu di Malaysia, bagaimana pula di peringkat global? Negara manakan yang menjadi yang pertama menggunakan perkhidmatan ATM?

Menurut portal Historic England, Bank Barclays di England adalah bank pertama di dunia yang dilengkapi mesin ATM iaitu pada 27 Jun 1967.

Mesin prototaip terdahulu dikatakan mempunyai fungsi yang berbeza dengan mesin ATM yang ada pada hari ini.

Pelanggan ketika itu perlu memasukkan baucar kertas khas seperti cek yang ditebuk dengan titik sepadan bersama nombor pin empat digit mereka.

Kedua-dua tandatangan dan nombor pin diperlukan untuk pengesahan dan sekiranya sepadan, ia akan mengeluarkan wang kertas sebanyak 1o pound.

Hari ini, walaupun dihambat dengan trend penggunaan dompet digital dan komuniti tanpa tunai yang semakin meluas, kewujudan ATM masih lagi menjadi perkhidmatan penting buat semua.