Menantu berpakat rompak rumah sendiri, larikan barang kemas ibu mentua

Menantu berpakat rompak rumah sendiri, larikan barang kemas ibu mentua
Berpakat dengan kumpulan empat perompak untuk menyamun kediamannya sendiri di Felda Chini Timur 1, di sini, sebelum melarikan barang kemas milik ibu mentua.
Itu rancangan seorang suri rumah yang diberkas polis selepas lakonannya sebagai mangsa rompakan terbongkar.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata enam individu termasuk suri rumah yang membuat laporan polis mendakwa rumahnya dimasuki empat perompak bersenjatakan pisau pada 20 Mac lalu, ditahan pada 15 Mei lalu.
Semua mangsa berusia antara 27 dan 36 tahun itu ditahan reman hingga Jumaat ini, bagi membantu siasatan.
Saringan air kencing empat daripada enam suspek mendapati mereka positif dadah syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau.
“Berdasarkan laporan awal pada 21 Mac lalu, mangsa yang juga suspek mendakwa disamun empat individu bertopeng pada jam 11.45 malam.
“Mangsa memaklumkan kerugian lebih RM12,000 antaranya dua telefon bimbit dan seutas rantai leher dan gelang tangan.
“Namun, siasatan lanjut mendapati suri rumah itu berpura-pura menjadi mangsa samun kerana kejadian itu sudah dirancang bersama seorang suspek untuk merompak barang kemas milik ibu mentuanya.
“Barang kemas yang disamun dalam kejadian itu dijual suri rumah itu kepada seorang lagi suspek yang digunakan untuk membayar hutang `Along’,” katanya.
Enam suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun bersenjata secara berkumpulan.
Media sebelum ini melaporkan suri rumah bersama dua anak dan ibu mentua berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki empat perompak bersenjatakan pisau di Felda Chini Timur 1 pada 20 Mac lalu.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika suri rumah itu sedang tidur bersama dua anak dan ibu mentuanya.