Memalukan, penjawat awam dan pelajar kolej bergabung curi kerbau warga emas
Seorang penjawat awam dan pelajar kolej antara tujuh lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat kes curi kerbau di ladang kelapa sawit di Tronoh, semalam.
Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 46 tahun.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian pada pukul 8.30 pagi itu disedari pemilik haiwan berusia 60 tahun itu setelah dia terdengar bunyi letupan ketika membuat rondaan di ladang miliknya.
Katanya, lelaki itu kemudiannya terserempak tiga lelaki namun mereka segera melarikan diri sebaik sahaja terlihat pengadu.
“Dengan bantuan beberapa orang lain, ketiga-tiga suspek dapat ditangkap. Mereka telah membawa pengadu masuk semula ke dalam hutan dan menunjukkan tempat kerbau yang dicuri dan ditambat.
“Pengadu mengecam kerbau ditunjukkan itu adalah miliknya yang hilang sebelum ini dan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan lanjut menahan empat lagi suspek termasuk seorang penjawat awam berusia 46 tahun dan pelajar kolej vokasional berusia 18 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan terbabit menjalankan kegiatan curi kerbau dengan menggunakan penembak pelali, haiwan itu kemudiannya ditambat sebelum dibawa keluar menggunakan lori.
“Dengan penahanan itu, kita turut merampas dua kenderaan, satu laras aluminium, jarum pelali, tali guni, satu botol ubat ketamil dan combistress serta empat unit handy talkie yang digunakan bagi menjalankan kegiatan itu,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan semakan, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau antaranya merusuh.
“Polis akan mendapatkan tempoh tahanan reman hari ini (Selasa) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya.
Sumber: Utusan