“Lagi masuk Sarawak! Jangan pulang Melaya dengan mayat saja” – Baby Shima terima ugutan bunuh
“Lagi masuk Sarawak! Jangan pulang Melaya dengan mayat saja” – Baby Shima terima ugutan bunuh
Penyanyi wanita, Baby Shima diugut jika masuk Sarawak apabila menerima komen yang agak membimbangkan di ruangan Facebook miliknya.
Menerusi perkongsian Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 31, di Instagram, dia telah memuat naik tangkapan layar komen tersebut yang dilihat sangat keterlaluan.
Komen yang dibuat individu tersebut meminta supaya penyanyi dangdut berkenaan berhati-hati jika masuk ke Sarawak kerana ada musuh yang sudah mensasarkan untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepadanya.
“Hati-hati, musuh telah mensasarkan awak sekarang. Jangan pulang Malaya dengan mayat saja,” tulis individu terbabit.
Susulan daripada itu, Baby Shima telah meminta kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bahagian Sarawak untuk mengambil peduli tentang ugutan yang diterima tersebut.
“Shima baru menerima satu ugutan bunuh dari orang sarawak, Mohon kerjasama polis sarawak Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police)” ujarnya.
Disebabkan perkara itu, peminat dan juga netizen di media sosial milik selebriti berkenaan telah meminta supaya Baby Shima untuk mengambil tindakan undang-undang agar keselamatan diri terjaga.
Ada juga yang pelik dengan tindakan individu yang melayangkan ugutan kepada penyanyi itu kerana dilihat tiada sebarang perkara dilakukan olehnya sehingga menyinggung perasaan orang-orang Sarawak.
Difahamkan, penyanyi berkenaan akan berada di Sibu Sarawak pada malam tahun baru bagi menjayakan persembahan di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim Sibu Jaya.