MCMC fail tindakan sivil terhadap Edisi Siasat dan Edisi Khas

MCMC fail tindakan sivil terhadap Edisi Siasat dan Edisi Khas
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas kerana didapati menyebarkan kandungan berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menjelaskan tindakan tegas yang diambil ke atas dua akaun di media sosial itu juga berikutan ia melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tindakan ini yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram adalah pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) (ASP(C)).
“Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang sudah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama sudah dilakukan oleh MCMC,” katanya.
Katanya, berikutan tahap pematuhan tidak memuaskan, MCMC memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan berkenaan serta menghalang penerbitan semula kandungan kandungan seumpamanya.
“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi. Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
“MCMC sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.
“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama untuk platfform lain juga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara,” katanya.
Katanya, MCMC juga kekal komited dalam memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang.
MCMC bagaimanapun tidak memperincikan kandungan-kandungan yang disiarkan oleh dua platform di Telegram itu yang disifatkan boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Platform berkenaan sebelum ini sering berkongsi maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan perjudian serta amalan yang didakwa rasuah melibatkan anggota dan pegawai penguatkuasa.