Mayat lelaki bertatu ‘AK47’ ditemui terlentang di Teluk Kemang

Mayat lelaki bertatu ‘AK47’ ditemui terlentang di Teluk Kemang

 

Polis mencari waris seorang lelaki yang ditemui lemas di Pantai Batu 9, Teluk Kemang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan menjumpai mayat lelaki di pantai berkenaan.

Siasatan awal mendapati mayat itu dijumpai dalam keadaan terapung dan dibawa arus dari tengah laut ke pesisir pantai.

“Mayat itu lengkap berpakaian baju t-shirt hitam dan berseluar jeans hitam dalam keadaan terlentang. Pemeriksaan pada tubuh si mati menjumpai wang di dalam poket seluar namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau telefon bimbit dijumpai.

“Tiada sebarang unsur jenayah dan kes kematian mangsa. Siasatan mendapati mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang mempunyai tanda suntikan BCG pada lengan kiri dan tatu bercorak senjata ‘AK47 di leher,” katanya menurut Kosmo.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).