Mayat lelaki ditemui dalam gaung rupanya mangsa bunuh

Mayat lelaki ditemui dalam gaung rupanya mangsa bunuh

 

Mayat lelaki ditemui dalam gaung rupanya mangsa bunuh

Polis mengesahkan mayat lelaki yang ditemui dalam gaung di kawasan Kampung Batu 23, Jalan Pahang di sini pada Sabtu sebagai mangsa bunuh.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, hasil laporan pakar forensik mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan berganda yang dipercayai berpunca daripada dipukul dengan objek tumpul.

“Bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam dan lecet pada kepala, muka serta bahagian belakang badan, kedua-dua tangan serta kaki mangsa.

“Berdasarkan penemuan ini, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.43 tengah hari itu, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan satu mayat lelaki tidak dikenali dalam keadaan tertiarap di bawah cerun setinggi 15 meter di tepi jalan.

Johari berkata, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan awal 30-an, berpakaian t-shirt putih dan seluar pendek hitam, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Lelaki itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Tapah yang turut hadir ke lokasi,” katanya.

518332569 1227597229408380 3454214732246129948 n

Menurut beliau, pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu siasatan, manakala anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dipanggil bagi mengangkat mayat dari cerun ke tepi jalan.

“Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat yang telah dijalankan pada pagi tadi (Ahad).

“Cap jari mangsa juga telah diambil bagi mengenal pasti identitinya,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Shahrul Shamsudin di talian 05-4011222.