Mat motor ditahan polis, kena ‘paksa’ solat Maghrib secara berjemaah
Dimuat naik ke Facebook
Perkara tersebut dimaklumkan sediri di laman Facebook Polis Daerah Tanah Merah dengan menyertakan beberapa gambar.
Solat secara berjemaah
Menerusi laporan dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, tindakan itu dilakukan sebaik mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah selepas ditahan sempena Op Khas Kesalahan (Bunyi Bising).
“Semua mereka yang berusia 14 hingga 20 tahun ditahan di Jalan Kampung Liku ke Kampung Gobek dalam operasi yang bermula pada jam 5.30 petang hingga 8 malam.
“Mereka dibawa ke IPD Tanah Merah dan kebetulan ketika itu sudah masuk waktu Maghrib menyebabkan saya mengarahkan mereka solat berjemaah terlebih dahulu di surau IPD sebelum melakukan proses selanjutnya.
“Mereka diimamkan oleh seorang lelaki dalam kalangan mereka sendiri manakala tazkirah Maghrib disampaikan oleh anggota kami,” katanya ketika dihubungi.
Menurut makluman, sebanyak 30 saman dikeluarkan dan kebanyakkan adalah atas kesalahan tidak memakai topi keledar. Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.
Seramai dua pegawai dan enam anggota polis terlibat bagi melakukan operasi tersebut dengan sembilan buah motosikal disita atas beberapa kesalahan trafik. – OMM, Polis Daerah Tanah Merah, Harian Metro