“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga” – Masdo akui nyanyian Fazura beri kesan kepada industri muzik
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga” – Masdo akui nyanyian Fazura beri kesan kepada industri muzik.
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sedikit sebanyak memang nama kita tercalar dengan apa yang berlaku.” kata Kugiran Masdo mengulas mengenai persembahan nyanyian Nur Fazura di Indonesia.
Sebaliknya Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah (penyanyi, gitar), Putuceri (bass) dan Asmawi (gitar) menitipkan semangat untuk berusaha ke arah yang lebih baik.
Terdahulu, Fazura tampil mempromosi lagu Bertahan Demi Cinta menerusi program bual bicara televisyen di Indonesia yang mengundang bualan hangat netizen.
Menurut Masdo lagi, kejadian ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri muzik tanah air terutamanya rakyat Indonesia yang memandang remeh artis Malaysia.
“Harapnya dia dapat jadikan pengajaran dan iktibar supaya melakukan nyanyian lebih baik pada masa hadapan.
“Perkara yang baik kita ambil yang buruk kita jauhkan, jadikan perkara itu pengajaran untuk semua.
“Kadangkala kita dah buat hampir sempurna dan hanya 10 peratus silap tapi yang silap itu juga dilihat orang,” kata Ali Sariah pada sidang media Konsert One Love Music 2024 di IPC Cornerstone.
Mengulas lanjut, Ali berkata, penyanyi juga manusia biasa yang tidak sempurna dan boleh melakukan kesilapan.
“Mereka harus sentiasa sedia berdepan segala kemungkinan. Manusia itu tak sempurna. Masdo juga pernah berada dan melalui fasa itu, jadi kami faham apa yang berlaku.
“Apapun kena betul-betul bersedia sebelum buat persembahan walaupun kadang-kadang keadaan ketika itu buat kita rasa gugup.
“Berada di atas pentas untuk menyanyi perasaan dia lain. Lagi-lagi seseorang itu jarang buat persembahan,” katanya yang baru selesai mengadakan persembahan di Laos bersama kumpulan terbabit.