“Masa awal kau buat musuh” – Ibu dedah pernah dimarah keluarga tertuduh sebab pakai baju ‘Justice 4 Farhan’

“Masa awal kau buat musuh” – Ibu dedah pernah dimarah keluarga tertuduh sebab pakai baju ‘Justice 4 Farhan’

 

Ibu kepada allahyarham Zulfarhan Osman, Hawa Osman dedah pernah memakai baju’Justice 4 Farhan’ bagi menuntut keadilan buat kematian anaknya namun tidak disukai oleh keluarga tertuduh.

Menerusi perkongsian Hawa di Facebook, dia telah meluahkan rasa geram apabila ada dakwaan mengatakan keluarga tertuduh menganggap kejadian yang menimpa pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu sebagai salah satu kenakalan anak-anak sewaktu di usia mentah.

Dalam posting yang dibuat Hawa, dia mempersoalkan mengapa diawal-awal kes berkenaan berlangsung, ibu bapa tertuduh tidak datang meminta maaf kepada mereka dan menjadikan mereka seperti musuh.

Tak hanya itu, ketika keluarga Zulfarhan datang ke mahkamah dengan memakai baju ‘Justice 4 Farhan’, keluarga pihak tertuduh dipercayai marah  dengan tindakan tersebut.

“Kenapa masa Awal2 kau sebagai mak bapak tak minta maaf dekat kami. Kau buat musoh. Pakai baju Justice 4 Farhan pun kau marah,” tulisnya.

Namun, selepas mahkamah rayuan memutuskan bahawa enam orang suspek yang membuli anaknya sehingga meninggal dunia dijatuhkan hukuman gantung, tiba-tiba sahaja ada kenyataan menyatakan bahawa keenam-enam individu berkenaan masih lagi mentah sewaktu melakukan kekejaman tersebut.

“Bila anak kau kena ke tali gantong, baru kau kata mereka budak2 nakal. Budak2 nakal boleh ke membuli hingga macam tu sekali?

“Zulfarhan di ikat kaki dan tangan. Di sepak terajang, guna tali pinggang, getah paip, kayu penyodok sampah. Pastu seteria walaupun arwah along Zulfarhan Osman meraung kesakitan dan jatuh mengerekot, Tetap kau seterika juga hingga 2 jam. 2 hari berturut2,” luah ibu mangsa.

Dalam pada itu, adik kepada allahyarham Zulfarhan iaitu Zulhelmi Idros Zulkarnain telah berkongsi gambar mereka sekeluarga di hadapan istana kehakiman dengan meluahkan rasa syukur apabila penantian 7 tahun mereka menghadirkan khabar gembira.

Ujarnya, tempoh masa yang lama tersebut berbaloi apabila allahyarham abangnya didapati tidak bersalah dan pesalah sebenar dijatuhkan hukuman setimpal diatas kematian anak pertama dalam keluarga mereka.

Dia juga berkongsi gambar pusara Zulfarhan yang dipenuhi taburan kelopak bunga dengan kapsyen mendoakan supaya allahyarham bersemadilah dengan tenang di sana.

“Al-Fatihah along. Tujuh tahun menunggu keputsan dan akhirnya along tidak bersalah. Semoga along tenang disana,” tulisnya.

Justice 4 Farhan

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain kira-kira tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.