“Saya sangat-sangat layak untuk mohon perceraian” – Mas Idayu

“Saya sangat-sangat layak untuk mohon perceraian” – Mas Idayu

 

“Saya sangat-sangat layak untuk mohon perceraian” – Mas Idayu

Dua tahun sebulan usia perkahwinan gagal, penyanyi, Mas Idayu akhirnya tampil membuka mulut mengenai perceraian dengan bekas suami, Muhammad  Sufian Che Isa.

Menerusi temu bual bersama Melodi, Mas atau nama lengkap Mas Idayu Mesnun, 53, berkata, dirinya yang minta dilepaskan dan menegaskan dia mempunyai alasan yang kukuh.

Walau bagaimanapun, Mas enggan mendedahkan punca terperinci mengapa mereka bercerai.

Kalau tanya kenapa saya minta cerai, jawapannya saya sangat layak untuk mohon perceraian.

Saya menuntut cerai sebelum bermulanya program Famili Duo 4, tapi saya masih jalankan tugas saya sebagai juri seperti biasa.

Saya datang ke mahkamah pada 4 Mac dan telah jatuh talak. Allah tutup aib kami.

Seorang isteri kalau mohon cerai tanpa sebab, dia tidak akan dapat cium bau syurga. Saya tidak mahu menunding jari siapa yang salah.

Mengakui masih boleh berkawan, pelantun lagu ‘Cintaku 100%’ itu turut menafikan wujudnya orang ketiga yang menjadi punca perceraian.

Saya dan bekas suami tidak bergaduh langsung, malah ketika kami hadir ke mahkamah kami masih boleh ketawa. Kami masih boleh berkawan.

Orang ketiga bukan punca kami berpisah. Tiada langsung isu orang ketiga.

Terdahulu, Sufian yang juga Penerbit Eksekutif TV3 mengesahkan sudah berpisah dengan Mas Idayu pada 4 Mac lalu.

Menganggap jodoh mereka tidak panjang, Sufian terbuka menerima takdir yang sudah ditulis Allah.

Untuk rekod, Mas Idayu dan Sufian berkahwin pada September 2022. Difahamkan mereka mula saling mengenali sejak program Mentor 3 iaitu pada tahun 2008 dan semakin akrab pada 2021.

Sebelum itu, Sufian pernah berkahwin dengan personaliti TV, Intan Suraya namun bercerai dan mempunyai seorang anak.

Mas Idayu juga pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor, Aman Graseka pada tahun 1997 namun bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.