Man Bai sifatkan program Gegar Vaganza hanya memalukan penyanyi
Man Bai sifatkan program Gegar Vaganza hanya memalukan penyanyi
Penyanyi, Man Bai, 57, tidak berminat terbabit dalam program Gegar Vaganza (GV) kerana menyifatkan format pertandingan nyanyian itu memalukan penyanyi.
Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman berkata, walaupun pernah ditawarkan sebagai penyanyi jemputan baru-baru ini, namun dia membuat keputusan menolaknya.
“Saya tak mahu beri sokongan terhadap program yang memiliki format pertandingan memalukan artis bertanding. Jadi, saya tak ambil tawaran untuk segmen lagu duet itu ketika dihubungi baru-baru ini.
“Pada saya, kenapa mahu merendahkan artis? Kita tengok contohnya penyanyi Inka Christie yang dah menang pelbagai anugerah termasuk di Asia Pasifik, boleh tersingkir.
“Tidak logik dia tersingkir sebagai penyanyi berpengalaman, vokal pun bagus dan dikenali ramai terutama di Indonesia yang ada lebih 230 juta penonton, pasti tiada siapa yang tak kenal Inka Christie?
“Jadi, maksud saya jangan main permainan begini, saya tidak suka. Kalau kita mahu cari bakat, biar cara yang betul. Penilaian pada vokal itu yang utama,” katanya.
Selain itu, Man Bai juga mempertikaikan kredibiliti ketua juri, Datuk Ramli MS apabila tidak menobatkan Liza Aziz sebagai peserta terbaik pada konsert minggu keempat, Ahad lalu.
“Ronnie Hussein menang minggu lalu kerana Ramli kata sudah selalu beri kemenangan kepada Liza.
Kenapa macam itu? Kalau betul Liza layak menang, mengapa takut berikan (kemenangan) itu kepadanya?
“Bagaimana pula dengan usaha dilakukan Liza sebelum ini sampai beri dia tempat ketiga? Kalau dalam hati anda betul-betul seorang juri dan mahu beri kemenangan kepada yang layak, beri sajalah,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Kau Ilhamku itu, dia mendapati Liza layak menang sebab tiada orang boleh menyanyikan lagu Sambaria nyanyian asal Fairuz Hussein sebagaimana penyanyi wanita terbabit dengan ‘tone’ suaranya boleh turun naik.
“Sebagai otai (Liza), tengok saja pun dah tahu yang berilah lagu apa pun itu kepada dia, semua ‘kacang goreng’. Tapi, kalau dia kalah GV, saya fikir juri-juri itu semua pekak dan tuli. Maaf cakap.
“Pada saya persembahan Liza sudah mencapai ‘standard’ antarabangsa dan dia cuma perlukan satu lagu hit sebagai ‘signature’ kerana teknik nyanyiannya sudah bagus,” katanya.
Terdahulu, Man Bai hadir pada sidang media Konsert Mega Hitz 3 Dekad Vol 1 yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari tahun depan yang membabitkan sembilan penyanyi dan 22 lagu dipersembahkan.
Berbicara mengenai konsert itu, Man Bai berkata, dia teruja kerana beraksi sepentas dengan rakan penyanyi lain seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk Nash, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin dan Amir Masdi.
“Saya harap konsert ini mendapat sambutan baik dan berjaya kerana seronok dapat berkumpul buat persembahan dengan kawan-kawan lama yang sama-sama dalam industri dulu.
“Lagu-lagu akan dinyanyikan juga semuanya pernah popular dulu dan penonton pasti terhibur. Untuk persembahan saya nanti, insyaAllah akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.