“Ada tak orang nak tengok makcik menyanyi?” – Aishah
“Ada tak orang nak tengok makcik menyanyi?” – Aishah
Melangkah tahun ke-40 pembabitannya dalam bidang muzik, Datuk Aishah memberi bayangan bakal mementaskan konsert berskala besar tahun ini.
Enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai projek itu, Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin, memberitahu konsert itu bakal mengimbau perjalanannya dalam dunia seni sejak empat dekad lalu.
“Kalau dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sihat tubuh badan, ada perancangan pihak tertentu untuk menganjurkan konsert solo saya tahun ini.
“Perbincangan ke arah itu sudah ada. Cuma, belum tahu lagi butirannya. Kebetulan, tahun ini saya meraikan ulang tahun ke-40 dalam bidang seni. Justeru, saya fikir, ini adalah masa tepat untuk saya mementaskan konsert solo.
“Konsert ini dijangka menjadi cerminan perjalanan empat dekad dalam bidang seni suara. Bermula dari zaman saya menyanyikan lagu Inggeris hinggalah kepada lagu menyentuh perasaan seperti percintaan, patah hati, lagu patriotik dan lagu Hari Raya,” katanya kepada BH Online.
Selain melengkapkan portfolio kerjaya, konsert itu dilihat bakal menjadi khazanah berharga dan legasi yang boleh ditinggalkan, andai suatu hari nanti, Aishah mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.
“Pada 6 Januari lalu, usia saya genap 60 tahun. Saya beritahu syarikat rakaman, Sony Music dan penganjur bahawa saya tidak akan kembali muda.
“Sementara kudrat masih ada dan saya masih boleh menyanyi, buatlah apa sahaja rakaman dan perlu segera untuk anjurkan konsert.
“Konsert itu perlu kerana boleh menjadi suatu khazanah buat seseorang penyanyi. Bukanlah hendak kata saya mahu bersara, tetapi kalau boleh, saya hendak tinggalkan dunia seni ketika nama di kemuncak.
“Ada artis yang punya pencapaian hebat pada zaman kegemilangannya. Namun, pada penghujung karier, dia semakin dilupakan,” kata penyanyi Kemaafan Dendam Yang Terindah ini.
Meniti usia emas, barangkali ada yang skeptikal dan mempersoalkan kemampuan penyanyi bervokal nyaring itu untuk beraksi di pentas konsert besar.
Menyifatkan tanggapan itu suatu cabaran, Aishah berjanji menyerahkan jiwa dan raga demi kelancaran konsert yang bakal dijayakan itu.
“Perkara utama yang akan ditumpukan sudah tentu daripada segi latihan vokal. Ketika menjayakan konsert Aishah & MPO : A Symphonic Rendezvous, kira-kira tiga tahun lalu, saya baru enam bulan pulih daripada COVID-19.
“Saya tumpukan dua bulan sebelum konsert untuk latihan vokal. Jika ada rezeki konsert kali ini, sudah tentu saya akan beri yang terbaik kepada penonton.
“Cuma, apa yang jadi persoalan, adakah orang hendak tengok ‘makcik’ ni menyanyi pada konsert,” kata Aishah sambil tertawa.
Berkongsi pembikinan single baharu, iaitu Disebut Jangan Dikenang Jangan iaitu nyanyian asal Allahyarham Datin Rafeah Buang yang dilancarkan di pelantar digital November lalu, bekas juara musim keempat Gegar Vaganza (GV4) ini memberitahu, projek itu bertujuan mengembalikan semula ingatan peminat terhadap album Klasik yang pernah dihasilkan kira-kira tiga dekad lalu.
“Lagu itu salah satu daripada lagu yang sudah disenarai pendek. Perancangan asal nak buat semula album seperti album Klasik yang pernah saya rakam pada 1993. Tetapi, sekarang mana ada orang buat album?
“Lagu Disebut Jangan Dikenang Jangan adalah dendangan malar segar kedua yang saya rakam. Sebelum ini, saya rakam lagu Di Pinggir Kayangan.
“Kiranya, dua lagu ini dirakamkan untuk melihat sejauh mana penerimaan peminat.
“Jika sambutan menggalakkan, mungkin akan ada projek seterusnya. Saya ada minta pengikut media sosial pilih lagu yang mereka mahu saya rakam. Kebanyakan pengikut minta lagu komersial manakala penggiat seni memilih lagu era 1950-an.
“Kita lihat dahulu bagaimana sambutannya. Kalau diterima baik, mungkin kita akan kembali bekerjasama dengan syarikat rakaman atau saya biaya sendiri projek seterusnya,” kata bekas anggota The Fan Club yang mencipta nama di New Zealand pada era 1980-an ini.