Hanya belanja makan RM5 sehari, lelaki berjaya kumpul hampir RM800k dalam tempoh 6 tahun

Hanya belanja makan RM5 sehari, lelaki berjaya kumpul hampir RM800k dalam tempoh 6 tahun

 

Hanya belanja makan RM5 sehari, lelaki berjaya kumpul hampir RM800k dalam tempoh 6 tahun

Seorang lelaki di China mencuri tumpuan ramai apabila berjaya menyimpan 1.3 juta yuan (RM771,574) dalam tempoh enam tahun dengan hanya berbelanja kurang 7.50 yuan (sekitar RM5) untuk setiap hidangan sehari.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang dikenali di platform media sosial sebagai ‘Little Grass Drifting North’, bekerja sebagai hos siaran langsung di sebuah syarikat internet di Beijing selain menguruskan perniagaan media.

Menurut laporan portal Jiupai News, sikap berjimat cermatnya berpunca daripada pengalaman pahit semasa kecil apabila ibunya sakit tenat dan keluarganya terpaksa meminjam lebih 100,000 yuan (RM593,519) untuk kos rawatan.

“Saya mula sedar betapa pentingnya duit apabila keluarga tak mampu tanggung rawatan ibu. Sejak itu, saya nekad untuk menyimpan agar tidak perlu bergantung pada sesiapa jika berlaku kecemasan,” katanya.

Sejak tamat pengajian enam tahun lalu, dia mengehadkan perbelanjaan makan bulanan kepada kurang 500 yuan (RM296), dengan hanya makan makanan yang dimasak sendiri di rumah.

Dia menyewa rumah sekitar 2,500 yuan sebulan (RM1,483) iaitu perbelanjaan bulanan tertingginya berbanding makanan.

Lelaki itu juga mendedahkan bahawa dia hampir tidak pernah bercuti selama enam tahun, malah ketika Tahun Baharu Cina sekalipun dia tidak mengambil cuti penuh.

“Bukan saya kedekut, saya pernah ikut lawatan syarikat ke Universal Studios dan Sanya, tapi saya tak rasa teruja pun. Saya memang tak banyak keinginan untuk berseronok,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia mengakui gaya hidup itu memberi kesan kepada kesihatan apabila mula mengalami masalah kolesterol dan peredaran darah.

Kini, dia lebih cenderung untuk melabur dalam kesihatan diri dan ibu bapanya.

Sasaran terbaharunya ialah untuk mengumpul 2 juta yuan (RM1.2 juta) bagi membeli rumah dan kereta supaya ibu bapanya boleh tinggal selesa dan melancong.

“Saya nak beli rumah dan kereta dengan duit sendiri, biar ibu bapa tinggal dengan selesa. Kemudian baru saya fikir untuk berkahwin dan bina keluarga,” jelasnya.

Menurutnya, simpanan dan perancangan rapi memberinya keyakinan menghadapi masa depan.

Kisahnya tular di media sosial dengan pelbagai reaksi apabila ada yang memuji keazamannya dan tidak kurang juga yang mempersoalkan sama ada hidup dalam tekanan demi menyimpan wang itu.