Kos telan belanja RM1.5k, anak sedih mungkin terpaksa batal niat bawa ibu bapa ke majlis konvokesyen
Kos telan belanja RM1.5k, anak sedih mungkin terpaksa batal niat bawa ibu bapa ke majlis konvokesyen
Sepanjang musim konvokesyen ini, kawasan berdekatan kolej dan universiti tempatan pastinya penuh dengan ahli keluarga yang datang melihat graduan yang menerima ijazah.
Malah, ada juga graduan yang perlu mencari tempat penginapan jika keluarga datang dari jauh, sama ada perlu menyewa studio atau pengangkutan jika membawa anggota keluarga yang ramai.
Namun begitu, perkara sebaliknya berlaku kepada seorang graduan ini yang berasa dilema untuk hadir ke majlis graduasinya atau tidak kerana berlaku kekangan dari segi kewangan.
“Saya sepatutnya graduate pada minggu ini dan kena bertolak ke sana sehari lebih awal. Cuma sekarang saya masih ragu nak pergi atau tak sebab masalah kewangan.”
“Ayah saya sekarang tak bekerja dan hanya ada sedikit duit simpanan. Itu pun kebanyakannya digunakan untuk perbelanjaan rumah lain-lain. Simpanan makin susut.”
Jelas graduan terbabit, dia mengakui bahawa tidak mampu untuk menanggung segala kos sendiri sekiranya mahu hari bersejarah itu turut dihadiri ibu bapanya.
“Sekarang pula job tengah sikit. Saya tak mampu nak tanggung semua perbelanjaan sendiri dan saya tak nak susahkan ayah.”
“Selepas dikira-kira, kos nak ke sana dalam RM 1,500 termasuk penginapan, kereta sewa, tol, minyak dan makan.”
Kata gadis itu lagi, dia terpaksa menyewa kereta untuk ke majlis konvokesyen kerana kenderaan yang mereka ada sudah terlalu uzur.
Biarpun ada wang simpanan, dia bimbang jika berlaku kesulitan dari segi perbelanjaan pada masa akan datang memandangkan pendapatan bulanannya tidak menentu.
“Mak ayah saya kata tak kisah kalau tak pergi. Cuma kadang-kadang hati saya ni teringin juga nak pergi memandangkan saya anak sulung dan ini pengalaman pertama mak ayah ke majlis konvo.”
“Saya memang ada cadangan nak sambung belajar lagi, tapi takut lain pula yang jadi masa akan datang nanti.”
Luah graduan ini lagi, biarpun akui majlis konvokesyen bukan keutamaan kerana sijil dan skrol yang penting, namun jauh di sudut hatinya, dia mengakui terkilan kerana memikirkan impian untuk melihat kegembiraan wajah ibu bapa yang menyaksikan dia berada di pentas itu terkubur.
“Dah lama saya tunggu nak bawa mak ayah ke majlis konvo ni dan bila tiba masanya, masalah lain pula datang. Kalau tak pergi, mungkin saya akan ajak mak dan ayah bergambar je kat mana-mana.”