Sengketa sudah berakhir, majlis akikah jernihkan hubungan Shila Amzah dan ibu

Sengketa sudah berakhir, majlis akikah jernihkan hubungan Shila Amzah dan ibu

 

Silaturahim bertaut semula, majlis akikah anak saksi hubungan penyanyi Shila Amzah dengan ibunya, Fauziah Sarman kembali jernih apabila dilihat hadir berkumpul dalam sebuah majlis keluarga, semalam.

Menerusi beberapa hantaran dimuat naik di Instagram, dilihat Fauziah menghadiri majlis akikah cucunya, Rhea Akira yang merupakan anak kedua kepada Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah.

Bekas isteri kepada penyanyi Datuk ND Lalal itu turut memuat naik gambar mereka sekeluarga yang bergambar di atas sebuah pelamin yang dihiasi dengan tema berwarna merah jambu.

Selain Fauziah, penyanyi Syada Amzah yang juga adik kepada Shila turut kelihatan di majlis tersebut.

Fauziah turut berkongsi gambar ‘selfie’ dirinya berdua bersama Shila.

Pada Oktober tahun lalu, krisis dalaman keluarga Shila bermula selepas Syada memaklumkan dia mencari rumah sewa kerana mendakwa bakal dihalau keluar dari kediaman yang didiami bersama ibu mereka.

Namun begitu, penyanyi berkenaan menafikan dakwaan mahu menghalau keluarganya namun dia ingin menjual kediaman itu untuk membeli rumah baharu yang lebih sesuai dengan keluarganya.