Macam filem aksi, pasangan kekasih positif dadah lari dikejar 14 MPV polis

Macam filem aksi, pasangan kekasih positif dadah lari dikejar 14 MPV polis
Tindakan nekad sepasang kekasih melarikan diri daripada polis dengan memandu secara melulu sejauh 96 kilometer (km) berakhir apabila mereka diberkas di Jalan Pesisiran Tanjung Langsat, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, suspek lelaki berusia 36 tahun didapati memandu kereta jenis Proton Wira secara mencurigakan sebelum dikesan oleh anggota unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, walaupun diarahkan berhenti, suspek enggan mematuhi arahan dan bertindak memecut laju serta memandu secara melawan arus.
“Suspek melarikan diri melalui Lebuhraya Pasir Gudang ke Perling, kemudian ke Lebuhraya Utara-Selatan, berpatah balik ke Lebuhraya Pasir Gudang, sebelum memasuki Lebuhraya EDL, Pusat Bandar, Southkey, Jalan Bakar Batu, Jalan Masai Lama dan akhirnya ke Tanjung Langsat.
“Kejadian turut melibatkan 14 MPV dari IPD Johor Bahru Selatan, IPD Johor Bahru Utara dan IPD Seri Alam sebelum kereta suspek berjaya ditahan selepas sejam 22 minit dikejar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan 0.45 gram syabu, selain suspek dan teman wanitanya yang berusia 34 tahun disahkan positif methamphetamine.
“Semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala pemandu tidak mempunyai lesen, manakala cukai jalan kenderaan juga telah tamat tempoh,” ujarnya.
Kedua-duanya kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 42(1), Seksyen 26(1), dan Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum itu, tular beberapa video memaparkan beberapa kenderaan MPV polis mengejar sebuah kereta di Lebuhraya Pasir Gudang.