Litar Antarabangsa Sepang jadi lokasi terbaharu bazar Ramadan tahun depan

Litar Antarabangsa Sepang jadi lokasi terbaharu bazar Ramadan tahun depan

 

Litar Antarabangsa Sepang jadi lokasi terbaharu bazar Ramadan tahun depan

Warga Selangor bakal memiliki satu lagi lokasi bazar Ramadan yang menarik untuk dikunjungi sepanjang bulan puasa pada tahun depan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Muhamad Shah Osmin baru-baru ini telah mengumumkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan dijadikan lokasi terbaharu tapak Bazar Ramadan 2025.

Menurut Muhammad Shah, pembukaan bazar Ramadan Litar Sepang merupakan kerjasama antara MP Sepang dengan pihak pengurusan SIC.

Difahamkan, sebanyak 80 tapak akan disediakan untuk Bazar Ramadan SIC dan tapak-tapak berkenaan dibuka kepada mereka yang berminat.

Bagaimanapun, jenis hidangan atau juadah bazar yang akan dijual akan diselaraskan oleh MP Sepang dan pengurusan SIC.

“Dari segi hidangan yang akan dijual nanti, yang itu kita cuba selaraskan. Sebabnya, kita buka tawaran tersebut kepada semua yang berminat untuk menyertai bazar itu.

“Mungkin dari segi kategori kita boleh wujudkan, dari segi kuantiti juga kita akan tetapkan kuota.

“Kita boleh pelbagaikan jenis juadah dan mungkin kita akan sediakan kuota untuk makanan atau menu gastronomi.

“Kalau ikutkan, kita telah umumkan beberapa menu gastronomi sebagai makanan warisan negeri Selangor,” katanya seperti yang dilaporkan dalam SelangorTV.

Menurut Bernama,  MPSepang juga akan melaksanakan program sifar penggunaan straw plastik dan penambahbaikan terhadap Program Bebas Plastik melibatkan penggunaan plastik sekali guna di semua bazar Ramadan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu tahun depan.

Muhamad Shah berkata pengunjung digalak membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan bagi menyokong Kempen Bebas Plastik 2025.

“Secara tidak langsung, pelaksanaan program ini dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat setempat betapa pentingnya kita di dalam menjaga alam sekitar dengan menyokong kempen seperti ini,” katanya.

Muhamad Shah berkata sebanyak 12 lokasi bazar Ramadan akan dibuka melibatkan 886 petak bazar, tahun depan.

Beliau berkata lokasi bazar Ramadan itu ialah di Kip Mall, Cyberjaya, Taman Mas, Desa Pinggiran Putra, Kosmopleks, Taman Putra Perdana, Sungai Merab, Dengkil Jaya, Dengkil, Sungai Pelek, Litar Antarabangsa Sepang dan Sepang Putra.

Muhamad Shah berkata Bazar Ramadan Sepang Putra telah dibuka kembali kerana terdapat permintaan dan pertambahan penduduk di kawasan terbabit manakala Bazar Ramadan SIC adalah bazar Ramadan terbaharu diperkenalkan oleh pihak MPSepang dengan kerjasama pengurusan SIC.

“Permohonan bazar Ramadan telah dibuka secara dalam talian bermula 9 Dis lepas hingga 6 Jan depan,” katanya menambah setiap peniaga diwajibkan untuk mempunyai transaksi pembayaran tanpa tunai.