Padah ingkar pesanan tuan kebun limau kasturi, badan jadi panas macam disambar api

Padah ingkar pesanan tuan kebun limau kasturi, badan jadi panas macam disambar api
Pelbabagi cara dilakukan pemilik kebun bagi menjaga hasil tanaman daripada dicuri mahupun dimakan haiwan liar seperti monyet.
Selain meletakkan racun yang dicampur dengan makanan, ramai yang memilih untuk memasang pagar elektrik supaya penceroboh tidak dapat memasuki kawasan kebun.
Berbeza pula situasi di Sibu, Sarawak apabila pemilik kebun menggunakan ‘ilmu pendinding’ bagi menjaga hasil tanaman miliknya.
Kisahnya itu dikongsikan seorang perawat Islam, Hasnan Rili menerusi laman TikTok selepas seorang wanita terkena ‘santau’ yang diletakkan di kebun individu berkenaan.
“Tuan tanah pernah maklumkan supaya jiran-jirannya meminta izin terlebih dahulu sebelum mengambil apa sahaja barang dari kebunnya.
“Dia mengakui telah meletakkan minyak penjaga kebun bagi mengelakkan penceroboh,” kongsinya.
Kesan minyak itu akan menyebabkan pencuri atau sesiapa yang mengambil hasil tanpa izin ‘melekat’ pada pokok di kebun.
Malah katanya, jika individu tersebut berjaya keluar, dia mungkin akan mengalami simptom panas seluruh badan.
Paling membimbangkan sekiranya individu berkenaan terkena sawan babi.
“Pesakit ini tertarik pada pokok limau kasturi di kebun tersebut, pokoknya rendang dan buah banyak sampai terseret atas tanah.
“Disebabkan ‘geram’, dia ambil satu plastik… sampai sahaja di rumah, badan menjadi panas seperti disambar api,” katanya lagi.
Keadaan wanita itu menjadi semakin teruk pada sebelah malam.
Menurut Hasnan, badan wanita itu juga menjadi kemerahan seolah-olah terbakar.
“Situasi yang dialaminya membuatkan dia teringat pesanan tuan tanah supaya meminta izin sebelum mengambil hasil di kebun.
“Wanita ini cuba untuk meminta maaf tetapi malangnya tuan tanah sudah meninggal dunia,” tambahnya.
Susulan itu, wanita berkenaan berikhtiar dengan rawatan Islam bagi memulihkan semula dirinya.
Malah ada yang menyatakan ‘ilmu pendinding’ yang digunakan untuk menjaga kebun adalah ‘ilmu pantak’.