Lembaga bergayut di pokok menyerupai anak, wanita kongsi kisah aneh di rumah pusaka

Lembaga bergayut di pokok menyerupai anak, wanita kongsi kisah aneh di rumah pusaka

 

Ada pendapat menyatakan kanak-kanak merupakan ‘magnet’ kepada gangguan makhluk halus kerana hijab mereka belum ditutup sepenuhnya.

Melalui satu video tular di laman TikTok, seorang wanita dikenali sebagai Auni Afrina Tasha, 24, atau senang disapa Sha berkongsikan detik seram yang menimpa anak kecilnya.

Dalam video berkenaan, dikepilkan sekeping foto memaparkan entiti menyerupai wajah anaknya yang bergayut pada sebatang pokok.

Bercakap kepada mStar, Sha menjelaskan kejadian berlaku ketika anaknya yang berusia 3 tahun berada di rumah peninggalan keluarga di Kuala Krau, Temerloh. Pahang.

“Insiden ni berlaku tahun 2020. Waktu tu anak terbangun daripada tidur pukul 3 pagi, rupanya sebab nak pergi tidur dengan atok dia. Saya masa tu tengah lena lagi, tak sedar pun apa yang jadi.

“Apabila saya tercelik, saya pun pergi cari dekat mana anak saya pergi. Sementara tu juga saya mula merakam guna telefon, just in case. Rupanya atok dia bawa pergi main kejap dekat luar, belakang rumah saya tu ada pondok, tak jauh pun.

“Saya macam lega la, keesokan hari tu saya muat naik video dekat Facebook sebagai kenang-kenangan. Kemudian ada seorang kawan mesej, dia tanya kenapa anak saya bermain atas pokok, tak bahaya ke?

“Saya macam terkejut, bila masanya anak saya naik pokok, dia duduk dengan atok dia je. Saya pun mainkan semula video tu dan Ya Allah! Memang betul ada ‘sesuatu’ yang iras muka anak saya bersandar atas pokok tu,” ujar Sha tergamam.

Sha berkata setelah diamati, entiti tersebut sememangnya mirip anaknya.

“Apabila saya zoom, rambut dan bentuk muka ‘benda’ tu memang sama dengan anak saya. Walaupun agak kabur, tapi masih boleh nampak. Saya beritahu ayah tentang benda ni tapi dia kata tak ada apa. Mungkin benda tu saja nak bermain.

“Saya pun cuba kawal diri daripada panik, kalau ikutkan rumah ni pernah berlaku beberapa siri gangguan. Tapi sebab ini rumah pusaka, jadi saya tak mahu la bercakap buruk lebih-lebih.

“Cuma syukur kebanyakan gangguan tu tak melibatkan anak saya. Ada yang tanya mungkin pokok tu ada kisahnya tersendiri, tiada pun sebenarnya, tempat rumah saya ni bukanlah ‘keras’ sangat.

“Saya rasa memang ‘benda’ tu saja nak kacau secara rawak tanpa didorong sebarang motif yang jahat. Saya juga pernah bawa anak pergi berubat, pengamal tu cakap tiada apa yang serius,” kata Sha yang berniaga secara dalam talian.

Sha kemudian menceritakan satu lagi kejadian aneh yang masih menghantuinya hingga ke hari ni.

“Kalau berkaitan dengan anak, seingat saya ada dua insiden pasal makhluk halus ni. Satu yang dekat pokok tu, lagi satu waktu saya mengandungkan dia dulu.

“Biasa la kita sebagai perempuan hamil, memang suka merakam momen macam baby bump membesar dan sebagainya. Tapi ada sekali tu, saya tengah merakam sambil berbaring di lantai.

“Waktu tu juga ada angin bertiup tapi saya tak ambil pusing sangat sebab anggap cuaca memang tengah berangin. Cuma apabila saya tengok semula video tu, baru perasan ada sesuatu yang janggal.

“Ketika angin tu lalu, kain cadar katil terangkat dan boleh nampak ruang di bawah. Bilik tak cerah sangat tapi di sebalik kekelaman tu, muncul mata bercahaya tengah tenung saya, sekilas lalu macam tu je ‘dia’ keluar,” ujar Sha.

Sha berkata kejadian terbabit berlaku di rumah yang sama.

“Waktu tengok video tu meremang la juga kan, tapi Alhamdulillah tak berlaku apa-apa selepas tu sampai saya melahirkan. Saya cuba cari balik video tu tapi dah tak jumpa sebab dalam phone lama,” jelas Sha.