Didakwa percaya petua dapat zuriat, lelaki maut selepas telan anak ayam hidup-hidup

Didakwa percaya petua dapat zuriat, lelaki maut selepas telan anak ayam hidup-hidup

 

Didakwa percaya petua dapat zuriat, lelaki maut selepas telan anak ayam hidup-hidup

Seorang lelaki di Chhattisgarh, India dilapor meninggal dunia akibat sesak nafas selepas menelan anak ayam hidup-hidup.

Menurut India Today, lelaki berusia 35 tahun itu dikejarkan ke hospital selepas rebah tiba-tiba. Ahli keluarganya memberitahu mangsa sempat memaklumkan mengenai sakit kepala yang dialaminya selepas mandi.

Kes berkenaan membuatkan doktor terkejut apabila menemui anak ayam dalam mayat mangsa ketika proses bedah siasat dijalankan.

Pada awalnya, doktor tidak menemui sebarang petunjuk berhubung kematian lelaki tersebut.

Bagaimanapun selepas melakukan pembedahan berdekatan kawasan leher mangsa, mereka menemui anak ayam tersangkut pada bahagian berkenaan.

Dr Santu Bag yang mengetuai bedah siasat itu berkata, anak ayam sepanjang 20 sentimeter itu telah menghalang saluran pernafasan dan makanan, sekaligus menyebabkan mangsa mengalami asphyxiation.

“Ini adalah kali pertama saya bertemu dengan insiden aneh ini sepanjang pengalaman melakukan bedah siasat ke atas mayat,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk di kampung lelaki berkenaan tinggal percaya mangsa bertindak demikian kerana terpengaruh dengan kepercayaan mistik.

Difahamkan lelaki itu berdepan dengan masalah kesuburan dan sering bertemu dengan dukun tempatan untuk mendapatkan nasihat.

Manakala tindakan mangsa menelan anak ayam hidup-hidup mungkin adalah petua yang dikongsikan oleh dukun berkenaan untuk membantunya mendapatkan zuriat.

Pihak berkuasa tempatan telah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan sedang menyiasat punca kematiannya.

Polis juga sedang meneliti sama ada pengaruh ritual daripada kepercayaan mistik turut menyumbang kepada insiden tragis itu.