Lelaki tak mengaku amang seksual adik kandung, dakwa hanya lakukan demonstrasi
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap adik perempuannya, pada 6 dan 8 April lalu.
Tertuduh yang berusia 34 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap adik perempuannya yang berusia 17 tahun lima bulan ketika kejadian iaitu memerhati atau mendengar visual aktiviti yang bersifat seksual.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Long Yunus di sini, jam 10 malam, pada 6 April 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang tangan mangsa dan lokasi yang sama, jam 11 pagi, pada 8 April 2024.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara hingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana membabitkan abang dengan adik kandung dan mangsa adalah bawah umur.
Tertuduh dakwa hanya buat demonstrasi
Sementara itu, tertuduh merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya dan mendakwa dia hanya melakukan demonstrasi.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Mei depan sebagai sebutan semula kes.